Tumpuan :
Nasional

Sambutan tahun ini meriah, eratkan hubungan Malaysia-China -TPM Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih meriah dengan pelbagai kerjasama diantara Malaysia-China.

Ujarnya, kerjasama diantara Beijing dan Putrajaya terus dipertingkatkan meskipun hubungan diplomatik dua negara itu menjangkau 50 tahun.

“Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada hemat saya lebih meriah tahun ini. Apabila ada pertunjukkan dron di KLCC baru baru ini oleh pasukan negara China.

“Ia memperlihatkan hubungan 50 tahun diplomatik dengan China bukan hanya diterjemahkan hubungan kerajaan dengan kerajaan tetapi perniagaan dengan perniagaan juga.

“Ini dipertingkatkan dengan lawatan rasmi dan lawatan yang dilakukan antara Malaysia dan China,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga mengharapkan lebih ramai pelancong China menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelancongan utama mereka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Untuk tahun Melawat Malaysia 2026 kita harap lebih ramai pelancong Negara China, setakat ini kita telah memperolehi 3.8 juta pelancong daripada China.

“Ini diharapkan dapat membantu pertumbuhan ekonomi baik antara Malaysia dan China,” katanya lagi.

Antara tetamu yang hadir dalam rumah terbuka itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini