comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanadt terbang tinggi di LA

Wanted: Shades of Life Episode 3 Featuring Genkeswaran Muniyan diangkat Filem Inspirasi Terbaik, LAFA dan Dokumentari Terbaik, Anugerah Filmcon AS, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Dokumentari memaparkan transformasi seorang samseng hingga menjadi jaguh catur bersaing di Sukan SEA berjudul Wanted: Shades of Life Episode 3 Featuring Genkeswaran Muniyan diangkat Filem Inspirasi Terbaik pada Anugerah Filem Los Angeles (LAFA), awal bulan ini.

Naskhah itu yang turut dikenali sebagai Wanted Episod 3 arahan Sanadtkumar Ganesan turut memenangi kategori Dokumentari Terbaik pada Anugerah Filmcon Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Dokumentari itu turut tersenarai antara finalis pada Anugerah Filem Antarabangsa New York, November tahun lalu.

Sanadt yang juga pelajar tahun akhir bidang produksi filem di Sekolah Filem Toronto, Kanada cukup menghargai pengiktirafan diterima.

Berkongsi perasaan atas kejayaan di pentas LAFA, Sanadtkumar, 22, yang mesra disapa Sanadt, teruja mendapat berita baik dari Los Angeles.

“Saya sangat teruja apabila mendapat berita mengenai anugerah ini. Naskhah ini berkisar hidup Genkeswaran Muniyan atau Gen di mana saya dan pasukan merakamkannya dan dipertontonkan di Los Angeles dan New York,” katanya.

Sanadt yang juga pelajar tahun akhir bidang produksi filem di Sekolah Filem Toronto, Kanada cukup menghargai pengiktirafan diterima.

Sementara itu, tunjang utama dokumentari berkenaan, Gen tidak mengambil masa lama untuk bersetuju sebaik ditawarkan menjayakan naskhah berkenaan.

“Saya terus bersetuju kerana saya tahu Sanadt pernah menghasilkan beberapa dokumentari sebelum ini,

“Ketika penggambaran, saya perasan banyak perkara menyeronokkan, apatah lagi membabitkan kumpulan anak muda.

“Mereka adalah masa depan kita. Jadi, saya gembira apabila kisah saya disampaikan sekumpulan anak muda,” katanya.

Dokumentari yang dijadual dipertontonkan pada sesi tayangan perdana di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Mac depan itu turut dihantar menyertai beberapa festival filem di AS dan Sweden.

Sanadt memulakan dokumentari dengan menceritakan kisah kehidupan harian rakyat Malaysia yang mengambil haluan yang jarang ditempuh, namun, meninggalkan impak yang kekal dalam komuniti.

Melalui Wanted: Shades of Life Episode 3 Featuring Genkeswaran Muniyan, kisah hidup Gen memberi inspirasi kepada anak muda untuk meningkatkan keupayaan diri yang digambarkan secara simbolik melaui dunia catur yang dikuasai Gen.

Gen yang juga berasal dari Pulau Carey, Selangor adalah bekas banduan yang akhirnya mengubah hidup ke arah yang lebih baik.

Menguasai sukan catur, Gen kemudian mewakili Malaysia di Sukan SEA 2013 di Myanmar dan beroleh pingat gangsa.

Selepas kejayaan itu, Gen menubuhkan Akademi Chess Master Journey bagi melatih orang ramai mengenai permainan catur.

Mereka yang mahu menghadiri sesi tayangan perdana Wanted: Shades of Life Episode 3 Featuring Genkeswaran Muniyan di Petaling Jaya Performing Arts Centre, 1 Utama pada 26 Mac depan, boleh mendapatkan tiket di laman www.onetix.com.my.

Loading...
Terkini