Oleh: Izzatie Rizan
SERI KEMBANGAN: Cukup meminati jentera berat usai kecil mendorong Mohamad Ridzuan Mohd Tahir memodifikasi lori mininya agar kelihatan seperti kenderaan sebenar yang dipandu di atas jalan raya.
Berkecimpung dalam dunia alat kawalan jauh atau RC sejak 8 tahun lalu, dia tidak kisah menghabiskan modal yang tebal demi membeli kenangan zaman kanak-kanak yang tidak dapat diulang semula.
Menjengah ke trek istimewa yang dibina Mohamad Ridzuan di perkarangan rumahnya di sini akan membuatkan sesiapa sahaja ralit melihat jentera berat ini beroperasi.
View this post on Instagram
Mana tidaknya bukan sahaja setiap lori persis kenderaan sebenar, situasi di jalan raya juga turut lengkap dibina juruteknik berusia 35 tahun ini.
Berkongsi kepada Buletin TV3, dia berkata hobinya bermula dengan membeli lori kawalan jauh terpakai pada harga RM4,500.
Kurang berpuas hati dengan prestasi lori berkenaan mendorongnya belajar lebih mendalam selok belok jentera mini ini.
Untuk itu dia sanggup berguru dengan abang lori bagi membolehkan setiap pengubahsuaian jenteranya mempunyai kemampuan setanding kenderaan di atas jalan raya.
“Saya memang meminati jentera berat sejak kecil cuma ketika itu nak dapat memang susahlah sebab harganya bukan murah jadi bila dah dewasa dan berkemampuan saya kembali nak kejar impian saya.
“Memang tidak dinafikan, kalau baru bermula seseorang itu perlu sediakan modal besar, lebih ribuan ringgit untuk beli satu unit jentera berat mini ini bersama kelengkapan lain yang kebiasaannya diimport dari China.
“Ada juga yang cakap ini hobi kayangan…namun bagi merasai semula suasana ceria ketika kanak-kanak saya rasa hobi ini sangat berbaloi,”katanya.
Mohamad Ridzuan berkata melihat kenderaan beratnya beroperasi dengan baik memberikan satu kepuasan dan ketenangan.
“Sebelum ini saya dan rakan-rakan bermain jentera mini ini di Putrajaya, namun pada 2017 saya nak cipta satu kelainan jadi saya bina trek ini.
“Trek ini dibuat menyamai kehidupan sebenar dengan replika diorama ada bangunan, papan tanda jadi bila ambil gambar atau video ianya nampak ‘real’. katanya lagi.
Kumpulan peminat kenderaan berat RC Truck & Tractor Malaysia ini akan berkumpul di trek setiap bulan.
Turut disertai golongan profesional, pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Mohd Helmi Salleh antara ahlinya yang aktif.
Selain berjumpa rakan baharu ia juga menjadi aktiviti riadah bertukar pendapat mengenai pengubahsuaian pada lori kawalan jauh masing-masing.
“Saya memang minat lori balak atau orang Kelantan panggil lori kepala kasut. Waktu itu beli daripada seorang kenalan yang spesifikasinya biasa-biasa sahaja tapi kini saya dah ubah suai mengikut versi terkini.
“Berbeza dengan peminat kenderaan kawalan jauh, mereka mencari kepuasan dengan berlumba di litar tetapi kami santai sahaja sambil mengendalikan jentera bersama keluarga,” katanya.
Difahamkan jumlah peminat hobi ini semakin meningkat umpama cendawan tumbuh sejak kebelakangan ini.
Malah sudah ada pertandingan bagi mengukur kemampuan jentera mini ini termasuk ujian parkir serta lori tercantik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.