comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanggup mengaku adik beradik elak ditangkap ‘basah’

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Tindakan sepasang kekasih kononnya mengaku saudara kandung bagi mengelak ditangkap ‘basah’, memakan diri apabila mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, pemuda berusia 20-an itu pada awalnya berkeras mendakwa gadis yang bersamanya adalah adik perempuan kandungnya ketika diperiksa pegawai penguat kuasa.

Namun, pasangan terbabit gagal membuktikan sebarang dokumen berhubung status mereka sebagai adik beradik menyebabkan mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, terdahulu, pasangan berusia 20-an itu mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu hotel ketika diperiksa.

“Ketika diminta menjelaskan hubungan mereka, pemuda itu berkali-kali mendakwa remaja perempuan itu adalah adik kandungnya.

“Selepas hampir lima minit menjelaskan perkara itu tanpa sebarang bukti dan dokumen, mereka akhirnya mengaku bukan adik beradik dan bermalam di situ untuk berehat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Che Sukri, pasangan remaja itu adalah antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Simpang Ampat dan Rembia di sini awal pagi semalam.

Kesemua yang diperiksa berusia antara 19 hingga 56 itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

Sabit kesalahan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Kejayaan itu juga jelasnya, adalah hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai RASEIM melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang syariah di Melaka secara dalam talian,” katanya.

Loading...
Terkini