comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanusi sudah serah wang saman fitnah kepada peguam

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyerahkan wang bayaran saman fitnah berjumlah RM120,000 kepada peguamnya, bagi dilunaskan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Penyerahan pembayaran itu katanya telah dibuat minggu lalu, dan urusan pembayaran  sedang diproses bersama peguam bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

“Tak perlu rasanya menggunakan platform media sosial untuk mencari publisiti dengan isu saman ini. Biar peguam uruskan.”

“Ini tidak lebih dari usaha Datuk Mahfuz menumpang populariti saya, dan berusaha menaikkan semula nama beliau dengan cara begini. Saya ada dengar beliau hendak bertanding (Pilihan Raya Negeri),” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, tidak timbul soal beliau boleh bankrap kerana segala urusan dijalankan mengikut prosedur.

“Peguam dengan peguam tentulah ambil masa untuk kira, lihat peratusan dan tuntutan lewat bayaran dan sebagainya.”

“Saya tak rasa beliau terdesak memerlukan wang. Beliau mempunyai pendapatan yang stabil hasil persaraan beliau sebagai bekas ahli parlimen.”

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka PAS pusat di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mahfuz dilaporkan menuntut Muhammad Sanusi Md. Nor segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Loading...
Terkini