comscore
Tumpuan :
Nasional

SAR diteruskan cari tiga remaja lemas 

Foto ihsan JBPM

MANJUNG: 32 anggota penyelamat pelbagai agensi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu, dekat Segari, di sini.

Tiga remaja terbabit dikenal pasti Chew Darumaraj, 14; G Sarath, 16; dan T Eishwarpillai, 16.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota penyelamat itu terdiri daripada bomba, polis marin dan turut mendapat bantuan 10 orang awam.

“Tujuh bot digunakan bagi mengesan mangsa, selain pasukan penyelamat di air (PPDA).”Bantuan Unit Anjing Pengesan K9 JBPM juga telah dipohon untuk diatur gerak,” katanya.

Semalam, Sabarodzi dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.26 petang.

Lokasi sungai itu terletak di dalam kawasan ladang sawit, dua kilometer (km) dari jalan utama dan hanya boleh diakses menggunakan pacuan empat roda.

Difahamkan juga, liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) di sini yang lemah menjadi cabaran dihadapi pasukan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit.

“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati, ketiga-tiga mangsa sedang memancing dan salah seorang daripada mereka telah mandi di sungai tersebut dan dihanyutkan arus.

“Dua lagi rakannya cuba menyelamatkan lalu telah dihanyut bersama semasa hendak menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini