comscore
Tumpuan :
Nasional

SAR Everest: Masa semakin suntuk, pencarian Hawari diteruskan hari ketujuh

Pendaki ME2023,Tiong Ling Yang menguruskan misi SAR Muhammad Hawari di pergunungan Everest.Foto ihsan ME2023.

PUTRAJAYA: Memasuki hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di gunung itu sejak Jumaat lalu namun belum ada perkembangan positif setakat ini.

Pendaki ME2023, Tiong Ling Yang, 30, yang terbabit dalam SAR itu berkata, operasi diteruskan hari ini membabitkan enam malim gunung dan carian tertumpu di kem dua sehingga malam.

Menurutnya, SAR digiatkan memandangkan hanya berbaki empat hari sebelum aktiviti mendaki ke puncak Everest ditutup Ahad ini.

Katanya, semalam SAR darat terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk dan disambung semula hari ini.

“Selain SAR darat turut digerakkan pencarian melalui udara menggunakan dua helikopter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dilaporkan hilang pada pagi Jumaat selepas beliau meninggalkan khemah di Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut secara bersendirian.

Pada Khamis 3.30 petang waktu Nepal, beliau yang juga kakitangan Muzium Pulau Pinang dilaporkan berjaya menjejakkan kaki di puncak Everest.

Semalam media melaporkan, SAR akan ditamatkan Ahad ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran, berkata keputusan itu dibuat susulan notis penutupan semua aktiviti di pergunungan Everest mulai Isnin depan, yang dikeluarkan kerajaan Nepal.

Kerajaan menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi membantu misi SAR itu.

Ling Yang berkata, mereka masih belum berputus asa dan berharap Muhammad Hawari dapat ditemui dalam keadaan selamat, sebelum tempoh berkenaan.

Loading...
Terkini