
KUCHING: Hujan lebat yang melanda sejak semalam mencetuskan banjir di beberapa lokasi hari ini.
Memburukkan lagi keadaan, pertembungan hujan lebat dengan air pasang besar dikhuatiri menjejaskan kawasan berisiko.
Di Miri, beberapa jalan utama di bandaraya itu dinaiki air susulan hujan lebat sejak semalam.
Antara kawasan terjejas, kawasan Jalan Riam, Kampung Tanjung Batu, Pujut Adong serta beberapa kawasan di pusat bandaraya Miri.
Selain itu, tanah runtuh yang mengancam kediaman penduduk turut dilaporkan berlaku di Kampung Lereng Bukit di Miri.
Di Marudi, jalan menghubungkan Long Lama dengan pekan Lapok terputus apabila ditenggelami air sejak semalam.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas pembetung milik syarikat perladangan pecah.
Berikutan kejadian itu, jalan berkenaan dinaiki air sehingga paras dua meter menyebabkan ia tidak boleh dilalui semua kenderaan.
Sebuah ambulans yang membawa pesakit untuk menerima rawatan lanjut Hospital Miri juga dilaporkan terkandas akibat banjir itu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Pengguang Manggil, dalam kenyataan di laman Facebooknya berkata, beberapa lokasi utama yang terjejas akibat banjir telah dikenal pasti.
Kawasan terbabit antaranya Jalan Kebun Nenas, jalan berdekatan Jambatan Sungai Bok, jalan utama berdekatan Jambatan Sungai Teru dan jalan utama kawasan Pelajau.
Sementara itu, beberapa rumah di Kampung Tebakang Melayu, Serian dilaporkan terjejas apabila dinaiki air tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kampung itu setakat ini.
Hanya satu PPS mangsa banjir yang aktif di Sarawak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muput di Tatau, Bintulu.
PPS berkenaan dibuka sejak Khamis lalu menempatkan 34 mangsa daripada 13 keluarga dari Rumah Panjang Steven.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.