comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak lulus belanjawan RM10.797 bilion

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Belanjawan Negeri 2023 yang membabitkan peruntukan RM10.797 bilion.

Belanjawan dibentangkan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 November lalu itu, diluluskan selepas mendapatkan sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini.

Berdasarkan belanjawan dengan tema ‘Sarawak Didahulukan: Ke Arah Masyarakat Yang Inklusif, Makmur dan Harmoni itu, sejumlah RM3.997 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM6.8 bilion lagi bagi Akaun Dana Pembangunan untuk membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.

Abang Johari berkata, dengan unjuran hasil RM11.035 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa RM10.797 bilion, Belanjawan Negeri 2023 dijangka menjana lebihan RM238 juta.

Belanjawan Sarawak 2023 digubal dengan berlandaskan lima prinsip utama iaitu Membangunkan Ekonomi Lebih Teguh, Berdaya Saing dan Saksama; Membina Sarawak Sebagai Negeri Berdaya Saing dan Berdaya Tahan; Mewujudkan Masyarakat Pintar Yang Disokong Teknologi Digital, Pengetahuan dan Inovasi; Memupuk Masyarakat Bersatu Padu, Harmoni dan Penyayang; serta Terus Merancang Untuk Kemampanan Fiskal Bagi Memastikan Keselamatan Generasi Masa Depan.

Abang Johari berkata, belanjawan kali ini akan terus menjadi bajet pengembangan yang membolehkan Sarawak melabur dalam banyak projek infrastruktur, sekali gus meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai terasnya.

Loading...
Terkini