comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak perlu RM17 bilion untuk sedia fasiliti kesihatan sempurna

Nancy dan Lukanisman pada Majlis Perasmian Jelajah ANMS Siri 1 (Daerah Lundu) dan Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 Peringkat Bahagian Kuching di Rumah Panjang Kampung Pueh, Lundu, hari ini.- Foto: NSTP

KUCHING: Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk memastikan semua fasiliti kesihatan dalam keadaan terbaik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata jumlah itu dikemukakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan peruntukan bagi menaik taraf semua fasiliti kesihatan di negeri ini.

Beliau berkata, angka itu cukup besar dan pengagihannya diperlukan dalam beberapa siri Rancangan Malaysia akan datang.

“Peruntukan itu diperlukan bukan sahaja untuk menaik taraf atau membina baharu klinik kesihatan, tetapi meliputi semua fasiliti kesihatan termasuk kuarters kakitangan di luar bandar,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Siri 1 (Daerah Lundu) dan Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 Peringkat Bahagian Kuching yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di Rumah Panjang Kampung Pueh, Sematan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, tahun ini pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 206 daripada 271 klinik kesihatan di Sarawak yang berstatus daif yang memerlukan tindakan segera.

Beliau berkata, sebanyak RM19 juta sudah diluluskan bagi melaksanakan projek menaik taraf 39 klinik daif itu iaitu enam di bandar dan 33 lagi di luar bandar negeri ini.

“Kita sudah mengenal pasti fasiliti yang akan diberi keutamaan seperti Klinik Kesihatan Biawak yang berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan Klinik Kesihatan Long San di Hulu Baram.

“Kita juga akan membina baharu Klinik Kesihatan Singai di Bau serta Klinik Kesihatan Sepupok di Niah,” katanya.

Mengenai perkembangan projek pembinaan Hospital Petra Jaya yang berlarutan sejak 10 tahun lalu, Lukanisman berkata, beliau dimaklumkan hospital berkenaan siap sepenuhnya tahun depan dan boleh beroperasi pada 2026.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini