comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak perlukan RM17 bilion naik taraf klinik daif

LUNDU: Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM17 bilion bagi membolehkan wilayah itu membaiki, membina semula dan menaik taraf 206 klinik kesihatan yang dikenalpasti berada dalam keadaan daif di wilayah berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata menerusi dua siri jelajahnya sebelum ini mendapati hampir kesemua klinik kesihatan serta kuaters-kuaters kediaman kakitangan kesihatan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar berada dalam keadaan daif.

“Itu adalah angka yang dikemukakan kepada Perdana Menteri selain daripada kerajaan negeri Sarawak bukan hanya sekadar menggantikan klinik tetapi keseluruhan fasiliti kesihatan kita di Sarawak.

“Dana yang diperlukan itu sangat besar dan ia juga akan melibatkan beberapa siri Rancangan Malaysia (RMK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Agenda Nasional Sihat Malaysia (ANMS) di Kampung Pueh, Sematan, di sini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, tahun ini sebanyak 39 buah klinik kesihatan di Sarawak akan dibaik pulih dan dinaik taraf melibatkan peruntukan berjumlah RM19 juta, tambahan kepada 30 buah klinik yang telah dinaik taraf tahun lalu.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan KKM kini dalam proses menyenaraikan klinik-klinik kesihatan dan beberapa buah hospital di Sarawak yang daif serta menghampiri usia emas untuk dimasukkan dalam senarai naik taraf dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

Perancangan itu tegas beliau bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti kepada rakyat menerusi penyediaan prasarana kesihatan yang mampan dan selesa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini