comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak pinda peraturan bina rumah kos rendah, lindungi hak pembeli

KUCHING: Pemaju perumahan berskala besar di Sarawak tidak lagi diwajibkan menyediakan 30 peratus daripada kawasan projek itu dengan rumah kos rendah mampu milik.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata sebaliknya kini pemaju diwajibkan untuk membuat pembayaran gantian (payment in lieu) yang setara dengan nilai 30 peratus kawasan itu kepada kerajaan.

Beliau berkata, wang pembayaran gantian itu pula akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Perumahan yang akan digunakan oleh kerajaan bagi membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Katanya, kerajaan Sarawak meminda peraturan di dalam Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak 2002 itu bagi menangani isu kualiti rendah rumah mampu milik yang dibina dalam 30 peratus kawasan projek perumahan yang dibangunkan pemaju swasta.

“Kita mengambil langkah ini (pinda peraturan) disebabkan ada pemaju perumahan yang boleh kita harap dan ada juga yang tidak boleh diharap kerana mereka menyediakan 30 peratus kawasan untuk buat rumah mampu milik (seperti yang ditetapkan di dalam Ordinan Pembangunan Perumahan), tetapi kualiti rumah yang dibina amat menyedihkan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Skim Perumahan Sungai Bedaun, Santubong, di sini, hari ini.

Sebelum pindaan peraturan di dalam undang-undang perumahan itu, sektor swasta wajib memperuntukkan 30 peratus daripada skim perumahan atau projek pembangunan bercampur untuk membina rumah mampu milik sekiranya tanah yang dibangunkan seluas 4.04 hektar atau lebih.

Abang Johari berkata, peraturan mewajibkan pembayaran gantian itu akan dikuatkuasakan pada suku pertama tahun ini.

Katanya, dengan dana yang dikutip Tabung Amanah Perumahan itu, kerajaan memberi jaminan akan membina rumah berkualiti untuk rakyat yang amat memerlukan rumah sendiri.

“Rumah mampu milik di Sungai Bedaun ini yang dibina bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan dari Kampung Panglima Seman, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Hulu adalah contoh rumah berkualiti yang dibina kerajaan untuk rakyat.

Sementara itu, Abang Johari mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran harga murah tanah, terutama di kawasan yang baru dibangunkan dengan rangkaian jalan raya.

“Sudah banyak kes berlaku, apabila kita (kerajaan) membuka jalan baharu, ada pihak tertentu menjual tanah di tepi jalan itu dengan harga murah, tanpa mengetahui tanah yang dijual oleh individu tertentu itu adalah tanah milik kerajaan.

Loading...
Terkini