comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak umum Belanjawan Negeri RM12.363 bilion terbesar dalam Sejarah

KUCHING: Belanjawan Sarawak yang diumumkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri berjumlah RM12.363 bilion bukannya RM13.6 bilion.

Pejabat Premier Sarawak ketika menjelaskan jumlah itu memberitahu jumlah RM13.6 bilion terbabit adalah angka terkumpul dengan dana terlibat adalah daripada sumber-sumber lain termasuk sumber dana daripada kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan Negeri berkata jumlah RM13.6 bilion yang dicadangkan itu merupakan peningkatan sebanyak RM2.098 bilion atau 18 peratus berbanding RM11.503 bilon pada belanjawan tahun 2023.

Jelasnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM9.04 bilion bagi tujuan pembangunan dan RM4.56 bilion sebagai perbelanjaan mengurus

Bagaimanapun ketika mengulas lanjut beliau memberitahu, jumlah perbelanjaan biasa bagi Belanjawan Negeri 2024 adalah berjumlah RM12.363 bilion dengan RM4.563 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM7.8 bilion untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek pembangunan.

“Ini adalah Belanjawan terbesar yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam sejarah, bukti kejayaan usaha memperkasakan pendapatan dan pengurusan kewangan yang berhemat.

“Dengan ini, kami mengguna pakai kaedah pengembangan belanjawan melakukan banyak pelaburan dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utamanya,” katanya

Tambah Abang Johari, tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar akan diteruskan menerusi penubuhan sembilan agensi Pembangunan Wilayah, yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat.

Ujarnya, kerajaan Sarawak juga akan menyediakan bantuan kos sara hidup dalam beberapa aspek untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kumpulan berpendapatan pertengahan, melabur secara bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini