comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarjan polis rogol pelajar dalam kereta ditahan reman

IPOH: Seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan yang disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun, telah ditahan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 42 tahun dan bertugas di daerah Perak Tengah itu sedang direman selama empat hari sehingga 31 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan terhadap pegawai polis terbabit akan dijalankan secara telus dan menyeluruh.

“Kita akan jalankan siasatan dengan telus dan terbaik untuk pastikan keadilan pihak mangsa, waima suspek ialah warga kerja kita sekali pun.

“Selain itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai terbabit,” katanya kepada media pada Program Kesedaran Kesihatan, Pemakanan dan Gaya Hidup Aktif (HEAL) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh sarjan polis sebanyak dua kali di dalam kereta, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasaraya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek yang juga Timbalan Ketua Balai itu terbongkar selepas mangsa bertindak memberitahu ibunya, baru-baru ini.

Mohd Yusri berkata, mangsa bersama ahli keluarganya sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini