comscore
Tumpuan :
Nasional

Sate ikan bandaraya jadi menu istimewa

Oleh: Izzatie Rizan 

DENGKIL: Jika sebelum ini, ikan bandaraya dianggap sebagai ikan pemusnah kepada spesies ikan lain sehingga mendominasi sungai terutamanya di Lembah Klang.

Ramai yang tidak tahu, ikan pendatang itu punyai rasanya tersendiri.

Malah spesies ikan berasal dari Amerika Selatan itu juga boleh dijadikan sajian pelbagai menu termasuk sate.

Rahsia kelazatan ikan ini dirungkai Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya sebagai salah satu usaha mengekang populasinya.

Menurut pengasasnya Mohamad Haziq A Rahman, inisiatif berkenaan timbul setelah melihat lambakan bangkai ikan ‘alien’ itu terbiar berikutan hanya telurnya sahaja diburu kaki pancing.

Beliau berkata, ikan bandaraya selamat dimakan jika ditangkap di kawasan perairan yang bersih serta tidak tercemar.

“Sebenarnya pelbagai usaha kami lakukan untuk kurangkan populasinya, di mana pada peringkat awal jika kita dapat (menjala) ikan bandaraya, ia akan 100 peratus dilupuskan.

“Kemudian kami (pemancing) ambil telurnya sahaja tapi kaedah itu hanya membantu mengurangkan 10 peratus populasi ikan itu, sehinggalah saya sendiri berani mencetuskan idea untuk ikan ini dijadikan menu aneka juadah.

 

“Kalau kita tengok bentuk fizikal dan tempat tinggalnya, orang akan takut. Tapi pada hakikat yang sebenarnya, rasa ikan ni sedap.

“Bagaimanapun pendedahan mengenainya masih belum meluas dan ketika ini yang berani memakannya, hanya terdiri dalam kalangan komuniti kami sendiri,” katanya kepada Buletin TV3.

Memasak aneka menu berasaskan ikan bandaraya merupakan rutin mingguan kelab komunti ini, yang digerakkan Zalinah Yusof atau dikenali sebagai Mama Lina.

Menurutnya, tekstur dan rasa isi ikan tersebut sangat sesuai dijadikan pelbagai menu antaranya kari, masak lemak cili api, burger, sambal serta tempura.

“Saya pernah membawa menu sate bandaraya ini dalam satu program dimana rata-rata pengunjung mengatakan ianya adalah sate ayam kerana isinya yang lembut dan tidak berbau.

“Ikan bandaraya ini memang spesis unik kerana boleh berubah rasa mengikut jenis masakan yang dimasak. Misalnya jika dibakar, rasanya seakan sama seperti ikan cencaru dan kalau dibuat sate, rasa seperti sate ayam,” katanya.

Ketika tinjauan ini dilakukan, kru kami sendiri kagum melihat isinya yang tebal bukan seperti kelaziman spesis ikan lain.

Mengulas lanjut komuniti ini berkata, sudah sampai masa stigma mengenai ikan ini berubah, kerana ikan bandaraya selamat dimakan selain sebagai satu langkah baik dalam proses pengurangan spesis asing itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini