comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Satu daripada empat indvidu habiskan simpanan KWSP dalam 5 tahun


Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Satu daripada empat individu yang boleh mengeluarkan duit simpanan mereka di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati menghabiskannya dalam tempoh 5 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data agensi kerajaan itu juga mendapati ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara serta keperluan untuk mengurus diri semasa lanjut usia.

“Kajian turut mendapati 26.1% daripada responden berumur 60 tahun ke atas pula akan terus bekerja sehingga kesihatan tidak lagi mengizinkan.

“Ini kerana mereka (individu usia 60 tahun ke atas) menghadapi cabaran dalam memastikan jaminan pendapatan untuk keperluan persaraan mereka.

“Warga emas juga lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding penduduk yang lain, dengan hanya 29% rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seumpama itu semasa bersara.” katanya dalam ucapan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) di sini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, inisiatif mencari pembaharuan perlu giat dijalankan dalam rangka kerja persaraan bagi memastikan setiap generasi di Malaysia dapat melihat ke hadapan untuk menjadi warga tua yang lebih baik.

“Penyelesaian baharu diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.

“Usaha perlu perlindungan KWSP secara berperingkat perlu diperluaskan supaya lebih ramai mereka yang bekerja dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP.

“Ini sekali gus akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi untuk hari tua mereka.” katanya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini