comscore
Tumpuan :
Nasional

Satu PPS dibuka di Kulim, 25 kediaman penduduk terjejas banjir kilat

Foto Ihsan APM – Anggota APM Kulim melakukan pemantauan di kawasan terjejas banjir di daerah Kulim.

KULIM: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini selepas 25 rumah penduduk di Kampung Padang Limau dinaiki air akibat banjir kilat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS berkenaan dibuka di Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang, dekat sini.

Beliau berkata, setakat ini jumlah mangsa banjir sedang dikumpul berikutan proses pemindahan dilakukan secara berperingkat.

“Kejadian banjir kilat berlaku pada jam 5 petang susulan hujan lebat sejak jam 2 petang menyebabkan air mula masuk ke dalam rumah penduduk sekitar jam jam 4 petang.

“Ini berikutan tebing Sungai Kob turut pecah menyebabkan paras air mencecah satu meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirul Aliff berkata, pasukan APM Kulim turut melakukan pemantauan paras air sungai, dan mendapati paras air Sungai Padang Limau berada dalam keadaan melebihi paras bahaya serta air sungai bergerak dalam keadaan laju.

Beliau berkata, pihak APM juga menasihatkan penduduk di sekitar kawasan Sungai Padang Limau supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan berpindah sekiranya paras air semakin menaik.

Loading...
Terkini