comscore
Tumpuan :
Nasional

“Saya akan rasa sendiri perjalanan 8 jam ke sekolah pedalaman Sabah” – Timb. Menteri Pendidikan

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying melakukan lawatan kerja di SKC Anglo Chinese antara sekolah tertua di Kota Kinabalu yang dibina sejak tahun 1915.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying akan merasai sendiri perjalanan lapan jam ke sekolah daif di pedalaman Sabah dalam rangka lawatan kerjanya ke negeri itu akan datang.

Tinjauan turun padang secara dekat itu ujar Hui Ying sekaligus akan cuba diselesaikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung masalah-masalah yang wujud di kawasan terbabit termasuk sekolah kurang murid.

“Terutama sekolah-sekolah bangunan daif saya ingin menitikberatkan dan juga kepada sekolah-sekolah yang kurang murid, kita tahu banyak sekolah yang kurang murid kita akan tengok dan cuba menyelesaikan atau tengok bagaimana menolong murid yang kurang murid menambah murid apa-apa penyelesaian saya rasa satu isu kita perlu titik beratkan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas membuat lawatan di Sekolah Kebangsaan Cina (SKC) Anglo Chinese di Kota Kinabalu. Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan.

Hui Ying ditanya media berhubung tujuan lawatan pertamanya ke Sabah selaku Timbalan Menteri Pendidikan yang juga lawatan sekolah pertama dilawatinya di negeri itu.

Objektif lawatan juga jelasnya selaras dengan rangka lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke Sarawak baru-baru ini yang turut akan melawat sekolah di semua negeri dalam mengenal pasti keperluan sekolah terlibat termasuk menitikberatkan sekolah di Sabah dan Sarawak.

Selain sekolah daif di pedalaman, tambahnya pendidikan khas juga antara keutamaan KPM dalam lawatannya ke Sabah pada masa akan datang.

Sementara itu, Hui Ying ketika berucap pada sesi taklimat sekolah itu turut mengumumkan peruntukkan sejumlah RM100,000 untuk SKC Anglo Chinese bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan sekolah.

SKC Anglo antara sekolah tertua di Sabah yang dibina sejak tahun 1915 kini memiliki 1,285 murid, 57 guru membabitkan 30 bilik darjah dengan keluasan tapak sekolah 6.5 ekar.

Loading...
Terkini