comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya bahagia di sini dan tidak mahu pindah ke tempat lain – Zainuddin

Zainuddin, di hadapan rumahnya yang rosak teruk dan sudah tidak boleh digunakan kerana reput dan bocor selain atap rumah yang dihempap pokok buluh tumbang di Kampung Pekajang, Johor. – FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Seorang warga emas dari Kampung Pekajang, Gelang Latah, di sini, sanggup tidur di anjung luar rumahnya yang usang dan daif demi tidak mahu meninggalkan rumah pusaka miliknya.

Lebih menyedihkan, bahagian dalam rumah papan didiami Zainuddin Abdullah, 61, itu rosak teruk dan sudah tidak boleh digunakan kerana reput dan bocor selain atap rumah yang dihempap pokok buluh tumbang.

Zainuddin yang kini uzur berkata, beliau sudah berkali-kali dipujuk ketua kampung itu untuk ditempatkan di rumah penjagaan warga emas berikutan beliau hidup sebatang kara.

“Namun saya terlalu sayangkan rumah pusaka yang sudah didiami sejak 60 tahun lalu dan menolak untuk dipindahkan ke tempat lain terutama rumah orang tua.

“Walaupun saya kini terpaksa tidur dan masak di anjung rumah yang sempit kerana rumah sudah rosak dan reput, saya bahagia di sini dan tidak mahu pindah ke tempat lain.

“Ketika muda saya pernah bekerja kilang dan tidak pernah berkahwin. Saya anak bongsu daripada enam beradik dengan semua adik beradik lain sudah meninggal dunia. Walaupun begitu ada anak- anak saudara yang datang melawat dan belikan makanan dan barang keperluan harian,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Zainuddin adalah antara enam keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar yang disantuni ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Pekajang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Pekajang, Hamzah Abdul Jazin, 63 berkata sejak lima tahun lalu beliau kerap datang dan memujuk Zainuddin untuk dipindahkan ke rumah penjagaan warga emas untuk hidup lebih selesa dan terjaga.

“Namun Zainuddin tetap berkeras tidak mahu meninggalkan rumahnya di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Pandak turut memujuk Zainuddin dipindahkan ke rumah penjagaan warga emas berikutan keadaan rumahnya yang uzur serta tidak sesuai didiami apatah lagi beliau tinggal seorang diri.

“Perbincangan telah dilakukan dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menempatkan Zainuddin di rumah penjagaan warga emas di Melaka buat sementara kerana Rumah Seri Kenangan di Johor Bahru sedang menjalani proses naik taraf dan ubah suai.

“Keselamatan Zainuddin adalah lebih utama kerana beliau kini tinggal di anjung rumah yang terbuka dan tidak sesuai didiami. Kita akan pujuk dan pindahkannya segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini