comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya bercadang menjual rumah kerana tiada pilihan untuk mendapatkan wang – Pesakit kanser

KUALA NERANG: Setelah sembilan tahun disahkan menghidap kanser payudara seorang wanita, Khalijah Hashim di sini hanya bergantung hidup kepada suami tercinta.

Wanita yang berusia 53 tahun ini, menerima takdir hidupnya selepas mendapat tahu menghidap kanser tahap empat pada tahun 2015.

“Wang simpanan yang ada cuma tinggal RM2 sekarang ini kerana sudah habis digunakan untuk kos rawatan dan ulang alik ke hospital di Pulau Pinang.

“Saya bercadang nak jual rumah Mesra Rakyat ini kerana tiada pilihan untuk mendapatkan wang dan ini saja yang tinggal,” kata Khalijah.

Dia kini tidak berdaya untuk bergerak selepas sel kanser itu terus menyerang bahagian pinggang, punggung dan tulangnya menyebabkan pergerakannya terhad.

Katanya, setiap hari dia tinggal sendirian di rumah itu di Kampung Genting Palas, di sini selepas suaminya, Md Daud Ahmad, 63, keluar bekerja sebagai buruh di Bukit Pinang, Pokok Sena.

“Dua anak kami masing-masing sudah berkeluarga dan hanya cukup makan untuk menampung kehidupan mereka.

“Saya hanya makan apa yang ada dalam rumah..Kalau ada roti, saya makan ja roti untuk alas perut kerana nak memasak, memang tak larat,” katanya.

Bagaimanapun, Khalijah bersyukur kerana dia dibantu dua sahabatnya, Jamillah Ahmad, 54, dan Roziana Ahmad Radzi, 44, yang kerap menjenguknya dan menghantar makanan.

Kedua-dua sahabatnya itu juga adalah pesakit kanser payu dara namun sering memberi sokongan moral dan menemaninya makan.

“Kalau saya seorang di rumah, saya hanya mampu menangis kerana badan dah tak kuat macam dulu dan ditemani 20 kucing peliharaan di rumah.

“Namun apabila Jamilah dan Roziana datang ke rumah, mereka selalu bantu saya suapkan makan, ubat dan membantu memakaikan baju untuk saya,” katanya.

Menurut Khalijah, wang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan yang diterima tidak mencukupi untuk membayar bil elektrik dan air selain membeli barangan makanan.

Katanya, disebabkan itu juga dia tidak berdaya untuk membayar sewa rumah yang tertunggak sejak dua tahun lalu kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Saya dimaklumkan rumah ini akan dilelong jika tidak jelaskan bayaran tertunggak tetapi sebelum dilelong, saya berhasrat untuk menjualnya kerana tiada pilihan,” katanya.

Sementara itu, Jamilah ketika ditemui berkata, dia simpati dengan nasib yang menimpa Khalijah dan sudah menganggapnya seperti adik sendiri.

Katanya, walaupun dia juga menghidap kanser tetapi masih bernasib baik dapat bergerak sendiri ke mana-mana namun Khalijah kelihatan sangat lemah.

“Saya dan Roziana tolong secara ikhlas dan jika Khalijah ada temujanji di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, kami sanggup membawanya ke sana dengan menaiki kereta tetapi jika ke hospital di Pulau Pinang, dia terpaksa meminta bantuan suami atau ahli keluarga yang lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini