comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya bukan melarikan diri – Mansoor Saat

Mansoor Saat

KUALA LUMPUR: Peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan beliau melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Mansoor, 69, sebaliknya menegaskan bahawa beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri serta sudah memberikan kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

Katanya, tindakan beliau keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya, sebagai isyarat bahawa beliau bersalah.

“Saya meninggalkan Malaysia pada pertengahan Mei atas urusan perniagaan. Saya kemudian dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM dan memberi maklum balas melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 bahawa saya akan kembali selepas menyelesaikan urusan perniagaan.”

“Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM menggesa saya untuk pulang dengan segera ketika kemuncak kempen politik pilihan raya negeri (PRN). Saya memaklumkan terdapat urusan yang belum selesai dan akan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mansoor berkata keengganan beliau untuk pulang ke tanah air sebelum PRN menyebabkan akaun peribadi beliau dan isteri dibekukan tanpa sebarang notis.

Beliau turut mendakwa diganggu tanpa henti oleh pegawai SPRM dengan ancaman fitnah dan pembunuhan watak.

“Sebarang kenyataan bahawa saya tidak dapat dihubungi adalah tidak benar. Pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan mengetahui keberadaan saya.”

“Saya bagaimanapun tidak akan membenarkan diri saya dibuli untuk menyerah dan melepaskan saham saya untuk dimanfaatkan oleh pemain korporat yang rapat dengan sesetengah pegawai SPRM.”

“Saya menolak naratif palsu ini dengan segala kekuatan yang saya miliknya,” katanya.

Mansoor berkata beliau dikaitkan secara tidak sah kerana mempunyai urusan perniagaan dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

“Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai urusan perniagaan dengan ramai orang lain, namun saya terkejut kerana hubungan saya dengan Muhammad Adlan yang dikhususkan.”

“Tindakan mengeluarkan kenyataan media bagi mencari keberadaan saya adalah tidak perlu sama sekali. Ia berfungsi menguatkuasakan kepercayaan saya bahawa terdapat usaha berterusan untuk memburuk-burukkan dan membunuh watak dan reputasi, termasuk saya,” katanya.

Tegasnya, beliau akan kembali ke Malaysia untuk menghadapi pendakwaan sekiranya ada, namun tidak akan berbuat demikian selagi dianiaya.​

Mansoor berkata beliau menolak sebarang cubaan SPRM untuk menggunakan media bagi mempengaruhi pendapat umum terhadapnya atau orang lain sebagai bersalah dan pada masa sama meningkatkan reputasi agensi itu atau untuk meredakan dispensasi politik.

Muhammad Adlan sebelum ini dilapor turut menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

Berdasarkan rekod, Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada 21 Mei lalu dan tiada rekod kembali ke tanah air.

Artikel berkaitan : Isu seleweng dana RM10 juta punca SPRM cari menantu Muhyiddin, peguam 

 

Loading...
Terkini