comscore
Tumpuan :
Nasional

”Saya datang bukan untuk bermusuh dengan sesiapa” – Anwar

ALOR SETAR: Walaupun hubungan Kedah dan Putrajaya keruh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu bermusuh dengan sesiapa.

Justeru beliau meminta rakyat Kedah dapat menyokong kerajaan Perpaduan bagi memastikan dasar yang dibawa mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Saya minta anda semua memahami perkara ini. Saya bukan musuh sesiapa. Saya di sini untuk mengatakan bahawa sudah tiba masanya Kedah dibangunkan semula,”

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan terus menyalurkan peruntukan kepada negeri di bawah pembangkang termasuk Kedah yang menerima tambahan peruntukan.

“Untuk Kedah naik peruntukan, tapi ada yang pakai serban cakap Anwar ini menganak tiri negeri pembangkang, itu cakap fitnah.

“Saya tahu apa erti fitnah, saya tahu apa erti sakit bila dipukul, saya tahu erti menderita hidup dalam lokap, makan tak cukup. Apa erti bila jadi Perdana Menteri, saya zalim pada orang?

“Saya kena pukul, saya kena pukul kamu. Saya masuk penjara, saya kena penjarakan kamu. Saya datang bukan untuk bermusuh dengan sesiapa,” katanya.

Menurut Anwar lagi,  beliau tidak bersikap pendendam dan sengaja mahu mengambil tindakan ke atas pemimpin pembangkang yang kerap mengkritiknya.

Malah, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana pihak berkuasa untuk menyiasat parti atau pemimpin tertentu semata-mata bagi tujuan politik.

“Saya dalam mesyuarat jemaah menteri, tak pernah arah suruh tangkap orang itu, siasat orang ini. Saya kata siapa ambil rasuah, tak peduli dari Pakatan Harapan (PH), PKR, UMNO, PAS, BERSATU, jika didapati ada salah sila siasat, tangkap, dakwa, salah masuk penjara.

“Kita ambil tindakan semuanya, Suruhunjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat, ada bukti kita dakwa, tengok kes jana wibawa, kes tebatan banjir. Tapi mereka kata saya dendam.

“Mereka cakap berdegar, cakap pasal hadis dan al-Quran, tapi pertahan orang yang ambil rasuah, kemudian kita yang ambil tindakan dipersalah, kata pendendam, aniaya rakyat, menganaktirikan negeri pembangkang,” katanya pada Himpunan MADANI Kedah yang diadakan di Dataran Stargate di sini, malam ini.

Loading...
Terkini