Tumpuan :
Nasional

‘Saya digambarkan sebagai MB zalim, dituduh penggadai tanah rizab Melayu’ – MB Perak

Saarani menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 pada sidang DUN. FOTO NSTP

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri bertindak zalim apabila membiarkan tanaman sawit yang diusahakan 600 anggota koperasi di Seri Iskandar, Perak Tengah selama lebih 10 tahun diratakan pemilik tanah.

Saarani berkata, tanah yang dimaksudkan adalah dua plot tanah iaitu PT600 dan PT32509 dalam kategori tanah bagi kegunaan perindustrian, selain semakan terkini mendapati ia bukan tanah rizab Melayu seperti didakwa.

Mengulas lanjut, katanya tanah berkenaan adalah sebahagian daripada tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang dicadangkan untuk pembinaan lapangan terbang baharu sebelum ini tetapi sudah dijual kepada sebuah syarikat pelabur menerusi Perjanjian Jual Beli (SPA) bertarikh 28 September 2018.

“Saya dimaklumkan, pelabur berkenaan sudah pun membuat pembayaran penuh. Yang Berhormat Gunong Semanggol (Razman Zakaria) tahu bahawa pada tahun 2018, saya belum menjadi Menteri Besar.

“Walaupun tanah itu sudah berpindah milik, kerajaan negeri tidak pernah bersikap lepas tangan dalam isu ini. Sebagai kerajaan yang prihatin, saya sendiri meminta PKNPk mengambil inisiatif untuk bertindak sebagai pemudahcara antara koperasi itu dan pemilik tanah untuk berunding melalui beberapa sesi libat urus.

“Hasil inisiatif kerajaan negeri itu, pada 2 Oktober 2024, pihak pemilik tanah dan koperasi sudah mencapai persetujuan bersama untuk menandatangani perjanjian di mana pemilik tanah bersetuju membuat bayaran sagu hati kepada pihak koperasi,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Saarani berkata demikian merujuk kepada isu berkenaan yang dibangkitkan Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak.

Beliau berkata, Razman cuba menggambarkan kerajaan negeri sebagai zalim apabila dakwanya membiarkan saja isu itu.

Menurutnya, kerajaan negeri dimaklumkan wujud kemelut dalaman di dalam koperasi terbabit sehingga menyebabkan sebahagian daripada ahlinya mendakwa persetujuan yang sudah dicapai bersama pemilik tanah sebelum ini sudah tidak sah.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri sudah melakukan segala yang wajar untuk membantu menyelesaikan isu kebajikan koperasi berkenaan. Malah dalam satu mesyuarat lembaga pengarah PKNPk yang saya pengerusikan pada 26 September lalu bersetuju menawarkan tapak alternatif di Mukim Pasir Panjang Hulu di daerah Perak Tengah.

“Tetapi sehingga tamat tempoh tawaran selama 14 hari, pihak koperasi tidak membuat maklum balas penerimaan. Serta kerajaan negeri dimaklumkan bahawa pertikaian dalaman koperasi berkenaan masih berlanjutan sehingga hari ini,” katanya.

Saarani berkata, sebagai Menteri Besar beliau tidak mengharapkan ihsan tatkala dilemparkan dengan tohmahan dan cacian, namun sekadar mengharapkan semua wakil rakyat terutamanya pembangkang untuk setidak-tidaknya bercakap mengenai kebenaran.

“Saya mengikuti isu ini yang turut ditularkan di media sosial. Komentar di media sosial cukup tajam dan keras dengan saya digambarkan sebagai Menteri Besar yang zalim malah ada pula menggelar saya sebagai penggadai tanah rizab Melayu selain ada yang menuduh saya tidak berhati perut kerana tidak berbuat apa-apa untuk membantu.

“Saya mengingatkan diri saya dan kita semua untuk sama-sama menyuburkan cara berpolitik yang membina, bukan menghancurkan. Jadilah penyampai idea bernas dan melahirkan solusi terbaik untuk rakyat.

“Politik matang ialah politik yang memberi harapan dan menginspirasikan perubahan, bukan dengan membakar api permusuhan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini