comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya hormati pandangan Mufti, cuma perlu berhati-hati agar tidak mencetuskan polemik ‘- Naim

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.- Foto: NSTP

SERDANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berpendapat sebarang pandangan hukum mengenai isu sensitif dikeluarkan Mufti perlu lebih berhati-hati agar tidak menjadi polemik masyarakat.

Mengulas mengenai saranan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah berkenaan ‘riba’ dalam sektor perbankan konvensional, jelas Mohd Naim pandangan itu amat dihormati.

 

Namun, pandangan itu juga katanya perlu disertakan hujah yang boleh dijadikan jalan penyelesaian terutama kepada masyarakat terutama umat Islam yang hanya bergantung kepada kerja di sektor terbabit.

“Saya ingat isu ini boleh dijadikan satu pengajaran. Saya mengharapkan sudah tentu dalam isu persoalan hukum, mufti diberi kuasa dan ada kelayakan untuk mengeluarkan pandangan.

“Mengenai isu ini (hukum bekerja di bank konvensional), ia tak dirujuk kepada menteri dan dikeluarkan begitu sahaja. Saya harapkan sahibus samahah, walaupun pandangan mereka dihormati, tetapi dalam masa sama perlu lebih berhati-hati,” jelasnya.

Mengenai perbankan Islam pula jelas Mohd Naim lagi, umat Islam kini mempunyai pilihan lebih banyak dalam mendapatkan pekerjaan yang lebih mengikut syarak dan ditetapkan dalam agama Islam.

“Kedua, bila keluarkan satu-satu pandangan, biar habis, jangan tergantung begitu sahaja.

“Jadi saya harapkan mana mana mufti, dengan kuasa dan tanggungjawab diberikan, bila mana satu pandangan dikeluarkan, janganlah sampai menimbulkan kegusaran awam dan perlu bagi solusi mengenai kedudukan isu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-16 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Sabtu.

Berhubung kenyataan dikeluarkan Mufti tambah Mohd Naim, pihaknya amat mengalakkan serta meraikan perkara itu.

Namun setiap pandangan, mestilah bersifat tuntas dan tidak menimbulkan kecelaruan dan pertikaian masyarakat.

Malah setiap pandangan dikeluarkan akan menjadi rujukan oleh masyarakat.

“Bila kita cakap orang Islam tidak boleh bekerja di bank konvensional, alternatif (penyelesaiannya) pula bagaimana.

“Biarlah pandangan dikeluarkan itu mengambil kira semua keadaan. Selain itu diharapkan pandangan terbabit (mengemukakan) solusi sehingga ke penghujungnya, sehingga tidaklah kita pun tertanya-tanya apakah bentuk penyelesaian yang di sarankan.

“Pandangannya itu mungkin tidaklah sampai ke tahap fatwa, ia lebih kepada pandangan atau nasihat. Tetapi golongan mufti ini apabila mereka keluarkan sesuatu pandangan, orang akan ingat perkara itu sebagai satu fatwa. Ini yang selalu terjadi,” katanya lagi.

Loading...
Terkini