comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya jaga FELDA sehingga masalah utama selesai’ – Perdana Menteri

Oleh: Kumaran Rajamoney

SIK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan kekal di bawah perhatian beliau dan Jabatan Perdana Menteri sehingga semua masalah berkaitan agensi itu diselesaikan.

Jelasnya, masalah berkaitan Felda tidak boleh diselesaikan secara tertangguh atau mengambil masa yang lama.

“Sebab masalah dia banyak dan saya tidak mahu ambil sedikit-sedikit untuk diselesaikan, Saya sudah berikan mandat penuh kepada Pengerusi FELDA kerana yakin beliau ada keupayaan dan serius hendak membantu.”

“Kalau ada masalah yang serius, beritahu pada saya dan percayalah insyallah saya akan cuba sedaya upaya membawa perubahan,” katanya.

Jelasnya, banyak perubahan yang sudah dilakukan bagi memulihkan Felda dan tanah rancangannya dalam tempoh yang singkat.

Ini termasuk membantu menyelesaikan hutang RM8.3 billion, memperbaiki kemudahan internet, membina pusat dialisis, pembaikan sekolah daif dan lampu jalan.

“Ini semua dilakukan dalam tempoh singkat, hanya 8 bulan. Bayangkan kalau kita terus diberikan mandat dan kepercayaan selama 5 tahun.”

“Sistem negara ini memerlukan sokongan rakyat. Saya mahu setiap generasi peneroka FELDA untuk menunjukkan komitmen dalam membantu menjayakan aspirasi ini. Saya tidak akan lupa jasa orang FELDA, Insyallah!”

Tambah Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan kini mendapat kepercayaan negara luar termasuk pelabur antarabangsa yang berterusan membawa masuk pelaburan baru.

Terkini, Infineon Technologies AG yang merupakan pengeluar semikonduktor terbesar Jerman memuktamadkan keputusan melakukan pelaburan berjumlah hampir RM30 billion ringgit (10 billion Euro).

“Ada orang Kedah maki saya tiap-tiap hari, tapi tetap juga saya putuskan untuk hantar pelaburan ini ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (Hi-Tech). Keputusan ini kerana mahu beri manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Segalanya FELDA, di Felda Teloi Timur, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Untuk rekod, Perdana Menteri pada akhir Jun lalu menandatangani dokumen pelupusan hutang pene­roka Felda berjumlah RM8.3 bilion selain mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan Felda.

Kerajaan juga akan membina 12 buah pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya yang dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan itu.

Loading...
Terkini