comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Saya mendakap anak bongsu, suami meminta anak lain keluar menyelamatkan diri – Mangsa kebakaran

KOTA KINABALU: Lapan beranak nyaris maut apabila rumah mereka dan tiga lagi rumah kongsi musnah dalam kebakaran di Kampung Sembulan Tengah, di sini, awal pagi tadi.

Salah seorang mangsa Hernah Hassan, 43, memaklumkan ketukan jiran menyelamatkan mereka sekeluarga.

“Nasib baik jiran ketuk pintu. Jika tidak mungkin saya, suami dan enam anak termasuk berusia setahun yang sedang tidur terperangkap,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, empat rumah musnah terbakar, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Hernah berkata, dia bersama suami serta enam anaknya berusia setahun hingga 16 tahun sedang tidur di rumah ketika kebakaran berlaku.

 

“Masa itu kami semua sedang tidur, tiba-tiba pintu diketuk oleh jiran dan mengarahkan kami sekeluarga keluar kerana rumah sebelah sedang terbakar.

“Tanpa berlengah, saya mendakap anak bongsu berusia setahun manakala suami meminta anak yang lain segera keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, api marak dengan begitu cepat tanpa sempat menyelamatkan harta benda.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, hanya pakaian yang saya pakai sahaja yang tinggal. Semuanya musnah.

“Saya terpaksa menumpang di rumah jiran buat sementara waktu,” katanya sedih.

Sementara itu, pegawai operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.05 pagi.

Katanya, seramai 45 pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan empat rumah termasuk tiga rumah kongsi yang mempunyai 30 pintu musnah dan operasi pemadaman menggunakan empat aliran daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

“Sebuah Toyota Hilux terbakar 10 peratus manakala Perodua Alza terbakar lima peratus,” katanya.

Jelasnya, anggota bomba dapat mengawal api daripada terus merebak dan menyelamatkan puluhan rumah daripada terbakar..

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini