comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya nak tengok siapa Ahli Parlimen yang menentang’ – Anwar

Oleh: Fareez Azman

TAMBUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak kenyataan beberapa pemimpin politik yang mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula 1 Disember ini.

Tegasnya, beliau ingin melihat sendiri pemimpin yang menentang langkah itu apabila dibawa ke Dewan Rakyat.

“Ada yang Ahli Parlimen katakan mana tahu dalam Parlimen tidak lulus. Saya nak tengok muka mana (Ahli Parlimen) nak menentang elaun dan gaji perkhidmatan awam.

“Kalau ada menentang tanpa alasan yang munasabah, kita humban mereka dalam pilihan raya,” katanya.

Tegas Anwar, langkah itu dibuat secara teliti oleh kerajaan bagi mengurangkan kesenjangan dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Malah ia langkah terbaik dibawa Kerajaan Madani selepas lebih 12 tahun tiada semakan gaji bagi penjawat awam dibuat.

“Saya katakan mulai 1 Disember ini Insya-Allah saudara akan saksikan kenaikan terbaik (gaji penjawat awam) dalam negara ini selama ini.

“Bagi kalangan dibawah (berpangkat rendah), kenaikan lebih tinggi daripada 15 hingga 20 peratus sebab kita tak mahu kesenjangan terlalu tinggi.

“Sebab itu skim kita akan merubah supaya tentunya yang berpangkat dan kepakaran tinggi harus diberi contoh berkhidmat 30 tahun tidak sama dengan 3 tahun.

“Kita kena kurangkan kesenjangan bermakna di peringkat bawah antara 20,25 hingga 30 peratus peningkatan tapi keseluruhannya saya umumkan 15 peratus,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 di Tambun, Perak hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Ia merupakan kenaikan tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara yang akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini