
CHUKAI: Seorang kanak-kanak 8 tahun ditemukan lemas selepas mandi-manda di Pantai Tapin Kemasik, dekat sini, petang tadi.Mayat Muhammad Ammar Azwan Azan, ditemui seorang pengunjung, Marzuki Mahat, 37, yang secara kebetulan berada di kawasan itu, kira-kira jam 5.21 petang.
“Saya ketika itu sedang berehat bersama keluarga di dalam kereta sebelum didatangi rakan mangsa yang berusia 9 tahun dalam keadaan cemas.
“Dia beritahu rakannya lemas dan terjatuh ke kawasan berbatu. Saya bergegas ke tepi pantai itu dan mendapati selipar mangsa ada berhampiran basikal kanak-kanak itu,” katanya.
Seorang kanak-kanak 8 tahun ditemukan lemas selepas mandi-manda di Pantai Tapin Kemasik, dekat sini, petang tadi. pic.twitter.com/gOvHrNLyAz
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 10, 2023
Katanya, dia kemudiannya menghubungi pihak polis sebelum terjun ke dalam laut untuk mencari mangsa.
“Jarak mangsa terjatuh kira-kira 17 meter dari persisir pantai dan saya menyelam mencari mangsa selama 15 minit di sekitar kawasan itu namun gagal.
“Saya kemudiannya turun menyelam buat kali kedua dan tidak sampai lima minit saya nampak objek terapung dan mendapati itu mayat mangsa yang berpakaian baju hitam,” katanya.
Katanya, dia kemudiannya mengusung mangsa naik ke daratan dan cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) namun gagal menunjukkan perkembangan positif.
“Masa buat CPR banyak air keluar dari mulutnya dan beberapa kali memeriksa nadinya langsung tidak berdenyut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.
Katanya, pihaknya menasihati kepada orang ramai terutamanya pengunjung pantai supaya tidak mandi berikutan sekarang ini memasuki fasa Monsun Timur Laut yang keadaan lautnya yang sudah bergelora.