comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya sambut hari jadi dia termasuk hadiahkan dua tudung’

KAMPAR: Pemandu lori ais yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Ipoh-Kampar dekat Kampung Pulai, Gopeng pagi tadi redha dengan ketentuan Ilahi yang mengakibatkan isterinya maut di tempat kejadian.

Syed Mohamad Asyraf Syed Shamsuddin, 24, yang memandu lori 1 tan itu bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan kanan.

Beliau berkata, ada kalanya Allahyarham Suhaili Abdul Razak, 28, mengikutinya untuk menghantar bekalan ais ke kedai-kedai seawal pagi khususnya pada hari cuti atau hujung minggu memandangkan isterinya itu bekerja sebagai tukang masak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Ipoh.

‘Saya sudah katakan pada isteri tak usah ikut, namun dia tetap mahu ikut sebab bosan katanya (di rumah). Mungkin itu hajat terakhir dia untuk merasa ikut saya bawa lori,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampar, di sini, hari ini.

Menurutnya, lebih memilukan apabila semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran isterinya itu malah mereka sempat menyambutnya bersama malam tadi termasuk menghadiahkan dua tudung kepada arwah.

Syed Mohamad Asyraf Syed Shamsuddin ketika di upacara pengkebumian isterinya, Suhaili Abdul Razak di Tanah Perkuburan Islam Kampar, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

“Malam tadi pun kami seronok dan sempat bermanja di rumah kami di Pengkalan (Lahat, Ipoh) kerana saya sambut hari jadi dia, termasuk dengan menghadiahkan kepadanya dua tudung.

“Sebelum-sebelum ini pernah juga dia ikut saya bawa lori tetapi hari ini lain sedikit sebab selalunya bila dia ikut, dia akan berjaga dari awal naik lori dan akan tidur di dalam lori sewaktu hari sudah cerah sekitar 7 pagi.

“Namun hari ini dari waktu mula naik lori dia kelihatan letih dan terus tidur, tidak seperti selalu,” katanya.

Menceritakan detik sejurus pelanggaran itu, kata Syed Mohamad Asyraf isterinya itu sempat terjaga dari tidur kerana terkejut apabila dia cuba membelokkan lori ke kanan dan sempat memanggilnya dengan panggilan manja ‘Abi’.

“Stereng lori itu memang agak sedikit ke kiri. Bila sudah dekat dengan treler di depan, kelajuan lori yang saya bawa menyebabkan ia tidak sempat dielak walaupun saya cuba putarkan balik stereng ke kanan.

“Tapi itulah, Allah lebih sayangkannya. Perkataan terakhir dia (isteri) kepada saya waktu itu hanya ‘Abi’ kerana terkejut… Panggilan saya kepada arwah pula adalah ‘sayang’,” ujarnya.

Kata Syed Mohamad Asyraf, Allahyarham Suhaili yang dikahwininya sejak November tahun lalu disifatkan isteri yang baik dan mendengar cakap dalam pada mereka berdua masih belum direzekikan cahaya mata.

“Ada juga sebelum ini kami berdua bercerita soal anak namun saya tak kisah apa orang cakap sebab yakin anak adalah rezeki ketentuan Allah.

“Lagipun biasalah orang yang baru berkahwin belum merancang untuk dikurniakan anak disebabkan faktor ekonomi yang baru hendak naik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, nahas sekitar jam 5 pagi itu berlaku apabila lori ais dipandu Syed Mohamad Asyraf melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sedang berhenti di laluan kecemasan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori ais mengalami luka-luka di bahagian tangan kanan, manakala isterinya iaitu mangsa yang berada di tempat duduk kelindan maut di tempat kejadian. Pemandu treler bagaimanapun tiada kecederaan,” katanya.

Menurut Mohamad Nazri, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini