comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya sangat lega, bersyukur mereka pulang ke tanah air – Anak jemaah terkandas

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SEPANG: Setelah sebulan terkandas untuk mengerjakan haji, akhirnya pasangan suami isteri yang hanya ingin dikenali sebagai Mohammad, 60, dan Ju, 58, selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2) pada jam 7 petang itu disambut beberapa ahli keluarga.

“Terima kasih PM bantu urusan kepulangan saya ke sini,” kata pasangan itu ringkas ketika ditemui di Balai Ketibaan KLIA 2, petang tadi.

Akibat keletihan dan masalah kesihatan, pasangan itu tidak dapat mengulas lanjut mengenai kes terbabit.

Bagaimanapun menurut anak perempuan pasangan itu, Ena, 33, berkata perjalanan pulang ibu bapanya itu dibantu oleh wakil Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

“Saya sangat lega, sangat bersyukur (mereka dapat pulang ke tanah air), sebab bila fikir mereka dekat sana sedikit sebanyak membuatkan pergerakan saya di sini terbatas sebab memikirkan mereka di sana.

“Mereka hidup dalam ketakutan, tidak keluar, makan mi segera sahaja dalam bilik hotel, orang ketuk pintu pun mereka tak respon sebab mereka tidak ada pasport, tidak ada gelang, tidak ada apa-apa, sampai mereka kata rasa seperti pelarian,” katanya.

Pasangan suami isteri ini berlepas ke Makkah pada 2 Mei lalu dan menarik diri dari mengerjakan haji selepas agensi yang terlibat gagal menyediakan visa haji.

Syarikat terbabit juga dipercayai ada hubung kait dengan kejadian tiga bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA pada 25 Mei lalu kerana gagal menyediakan tiket pulang ke Malaysia dan menurut sumber agensi berkenaan diuruskan oleh pasangan suami isteri berpengkalan di Seri Kembangan, Selangor.

Media pada Khamis lalu melaporkan, susulan kejadian itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan jemaah haji terkandas di Makkah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini