comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Saya seleweng RM600 bilion? Saya tak takut disiasat” – Muhyiddin

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Muhyiddin menjelaskan tidak mungkin beliau boleh menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank, yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion ini dipetik, jika pun merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan sebelum ini adalah bernilai RM530 bilion.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

“Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Awak dah jadi kerajaan, ‘act like a government’ (bertindaklah seperti kerajaan). Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengulas laporan polis dibuat Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan serta Ahli Parlimen Lembah Pantai yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil yang mendakwa wujud penyelewengan itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata jika benar dakwaan itu berlaku, sudah tentu diketahui melalui penemuan audit yang dibuat Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

“Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar. Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun.

“Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

“Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.

“Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?” katanya.

Beliau berkata, negara mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan yang mana perbelanjaan kerajaan tertakluk kepada audit.

“Jika terdapat penemuan audit mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan berkenaan. Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan (MOF) khususnya Agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, desakan pemimpin PH meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerlahkan sikap sebenar mereka yang tanpa segan silu menggunakan polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka.

“’This is a clear attempt at silencing dissent’ (ia percubaan jelas untuk mengetepikan perbezaan pendapat). Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.

“Apapun, saya tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka. Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat. Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama,” katanya.

Loading...
Terkini