Tumpuan :
Nasional

‘Saya terima pingat tertinggi ‘El Sol del Peru’ bagi rakyat Malaysia’ – PM

FOTO: Ihsan Istana Kerajaan Peru

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan pingat tertinggi Kerajaan Peru iaitu ‘El Sol del Peru’ ketika lawatan rasmi sulung beliau ke rantau Amerika Latin sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.

Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap peranannya sebagai ketua kerajaan.

Anugerah berprestij ‘Mentari Peru’ itu disampaikan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika pertemuan kedua-dua pemimpin di Istana Kerajaan Peru hari ini.

Dalam ucapan penghargaannya, Anwar melahirkan rasa syukur atas penghormatan sivil tertua di benua Amerika yang diwujudkan selepas kemerdekaan Peru daripada Sepanyol pada tahun 1821.

“Seperti mana-mana penghormatan yang saya terima dalam peranan saya sebagai Perdana Menteri, saya menerima penghormatan ini bagi pihak rakyat Malaysia.

“Kami akan menghargai (penganugerahan) ini sebagai lambang persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau tidak dapat menggambarkan betapa besar penghormatan dan keistimewaan yang diterima.

Ini kerana, penulis Peru kegemarannya iaitu Mario Vargas Llosa turut dianugerahkan pingat sama oleh Dina Boluarte pada Mac 2023.

Mengulas lanjut, menurut Perdana Menteri, anugerah terbabit akan menjadi titik permulaan baharu dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Peru.

Walaupun jarak geografi Kuala Lumpur dan Lima yang jauh, namun katanya, ia tidak akan menjadi halangan daripada membina perkongsian yang berfaedah.

“Peru memiliki satu persamaan yang sukar untuk diabaikan. Seperti Malaysia, ia adalah sebuah masyarakat pelbagai budaya yang pesat membangun dengan ekosistem yang sangat pelbagai yang menyerupai kepelbagaian di negara kita.

“Kedua-dua negara berusaha untuk menyesuaikan diri di tengah-tengah perubahan geopolitik dan persaingan ekonomi yang semakin meningkat. Kami melihat potensi yang besar dalam memperkukuh kerjasama kami dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan memperjuangkan kepentingan negara-negara Selatan Global,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini