comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya tidak sanggup menghampakan pengantin montel itu – Haffsyah

Nur Aqilah Erman bersama pasangan Muhammad Afiq Jusoh di majlis persandingan mereka. Gambar ihsan Haffsyah Jamalong dan dengan kebenaran pengantin.

JOHOR BAHRU: “Bukan semua individu memiliki susuk badan normal dan saya fikir sekiranya semua orang tidak mahu membuat majlisnya siapa lagi yang akan buat,” kata perancang perkahwinan, Haffsyah Jamalong.

Haffsyah, 43, berkata dia pernah mengurus kira-kira 3,000 majlis perkahwinan sebelum ini namun bersyukur kerana menimba pengalaman yang cukup berharga apabila berpeluang untuk mengurus majlis perkahwinan pengantin perempuan yang memiliki berat lebih 200 kilogram.

Pemilik butik andaman Flora Bridal House di Bandar Baru Uda itu yang mesra dengan panggilan Kak Ila berkata dia antara 50 perancang perkahwinan yang menyertai pameran pengantin di Plaza Angsana pada September tahun lalu terserempak dengan seorang wanita yang memiliki fizikal agak besar di tepi gerai pameran.

 

Menurutnya, apabila disapa, wanita itu menyatakan dia masih gagal menempah perkhidmatan perancang perkahwinan walaupun sudah berkunjung ke pameran itu berulang-kali dan berasa agak rendah diri dengan keadaan fizikalnya itu.

Katanya, walaupun menyedari keperluan wanita itu adalah berbeza berbanding pengantin yang memiliki susuk badan normal, dia sanggup memikul cabaran berkenaan kerana tidak sanggup menghampakan impian bakal pengantin itu.

Perancang perkahwinan, Haffsyah Jamalong bergambar bersama Nur Aqilah Erman. Gambar ihsan Haffsyah Jamalong dan dengan kebenaran pengantin.

“Pengantin berkenaan adalah Nur Aqilah Erman dan Muhammad Afiq Jusoh. Selepas menerima tempahan, cabaran utama saya adalah dalam soal menyediakan pakaian kerana dia sudah mencuba lebih 300 pakaian di butik saya namun kesemuanya tidak sesuai dan kecil hingga dia mula gelisah,” katanya.

Tambah Haffsyah, dia kemudian mengambil keputusan untuk reka busana tradisional baru bagi Nur Aqilah iaitu baju kurung songket Johor dan baju Melayu bagi pasangannya dengan corak bercirikan Jawa.

“Selalunya kami menggunakan enam meter kain bagi pengantin wanita namun kali ini mencecah 13 meter dan kami mendapati dia lebih sesuai memakai baju kurung berbanding gaun mahupun baju kebaya,” katanya.

Haffsyah berkata, dia juga menanggung kos bagi menjahit baju yang mencecah RM2,000 dengan syarat ia dipulangkan semula ke butik andamannya.

Menurutnya, dia yakin langkah itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pengantin perempuan itu yang kehilangan ibu dalam tempoh beberapa bulan sebelum perkahwinan.

Jelas Haffsyah, dia juga bersyukur kerana mendapat kepercayaan pasangan pengantin bagi menawarkan khidmat katering bagi 500 jemputan dan menguruskan soal solekan untuk majlis pernikahan dan persandingan Nur Aqilah pada 18 Mei lalu.

Sebagai balasan, Haffsyah menaja kad perkahwinan, kek, lukisan inai dan gubahan hantaran percuma ketika hari bersejarah pengantin itu.

Menurut Haffsyah, dia amat selesa dengan sikap kedua-dua mempelai yang tidak banyak kerenah malah memberi kerjasama sepanjang majlis.

“Mungkin fizikalnya tidak normal, namun dia seorang yang lembut, ceria dan disambut baik oleh keluarga mentua. Dia juga menangis kegembiraan kerana tidak sangka ada perancang perkahwinan yang sanggup menawarkan perkhidmatan.”

“Bagi saya kejujuran dan keikhlasan adalah penting dalam bidang ini, dan bagi pasangan berkenaan saya berharap mereka melayari kebahagiaan bahtera rumah tangga yang bahagia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Paparan kisah berkaitan pengalaman perancang perkahwinan mengurus majlis pasangan itu menerusi Facebook (FB) semalam menerima lebih 17,000 reaksi daripada netizen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini