comscore
Tumpuan :
Nasional

Sazali mahu jumpa Altimet

Sazali mahu bertemu Altimet kerana mahu mendapatkan kepastian, selain mengelak pisang berbuah dua kali berikutan pernah dijanjikan perkara sama oleh orang lain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 63, terharu atas niat murni penyanyi, Altimet mahu menyerahkan royalti lagu Aduh Malaysia ciptaannya yang diilhamkan daripada filem Ali Baba Bujang Lapok, kepada waris Seniman Agung itu.

Menyambut baik inisiatif komposer terbabit, Sazali bagaimanapun berharap Altimet bertemu dengannya bagi membincangkan perkara itu dengan lebih terperinci.

“Jika benar niat Altimet mahu menyerahkan wang royalti lagu itu kepada waris P Ramlee, saya ingin ucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan beliau.

“Cuma kalau boleh, saya mahu bertemu dengannya supaya perkara ini dapat dibincangkan secara bersemuka serta dengan lebih mendalam lagi,” katanya kepada BH Online.

Kelmarin, melalui ciapan Twitter, Altimet mengumumkan mahu menyerahkan royalti lagu Aduh Malaysia yang menyelitkan lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun ciptaan P Ramlee, kepada waris bintang legenda itu.

Sazali mahu bertemu Altimet kerana mahu mendapatkan kepastian, selain mengelak pisang berbuah dua kali berikutan pernah dijanjikan perkara sama oleh orang lain.

“Sebelum ini, ramai yang pernah berjanji untuk melakukan perkara sama tetapi apabila tiba masanya semuanya tinggal janji.

“Jadi, untuk mengelak perkara yang sama berlaku, adalah lebih baik jika Altimet datang berbincang dengan saya, bukannya sekadar umumkan perkara itu dalam media sosial.

“Sekurang-kurangnya, saya tahu apa perancangan beliau dan mengelak berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari,” luahnya.

Sazali turut merayu kerajaan menimbang melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya itu daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) yang berakhir, tahun depan.

Dengan keadaan dirinya yang semakin uzur, Sazali berkata, beliau hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.

“Duit royalti yang saya dapat itu bukannya digunakan untuk bermewah-mewah.

“Sebaliknya, dibelanjakan untuk membeli barangan dapur, pengangkutan ke hospital dan kos perubatan termasuk rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan.

“Saya ada temu janji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri.

“Saya bukannya ada pendapatan tetap. Hendak kembali bekerja pun tak berdaya.

“Kalau duit royalti ini tidak ada, mana saya nak korek wang untuk menampung semua perbelanjaan ini,” katanya.

Sazali mendakwa pernah menyuarakan soal lanjutan kontrak royalti karya P Ramlee kepada MACP, namun, tiada perkembangan lanjut diperoleh.

“Saya pernah suarakan perkara ini kepada MACP. Jawapan diterima mereka sudah mengutus surat kepada kerajaan, namun, malangnya, mereka terus membisu.

“Justeru, saya berharap agar kerajaan dapat pertimbangkan permintaan saya ini. Kalau dapat dilanjutkan tempohnya untuk setahun dua pun sudah memadai,” katanya.

Selepas P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada karya lagunya yang diurus MACP diserahkan kepada isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Namun, selepas Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada anaknya, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti MACP itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali sehingga mencapai tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

Sehubungan itu, dari 1973 sehingga tahun ini, kontrak royalti berkenaan sudah berlangsung selama 49 tahun dan berbaki kira-kira enam bulan lagi sebelum tamat.

Altimet atau nama sebenar, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, langkah menyerahkan royalti lagu Aduh Malaysia kepada waris P Ramlee dibuat sebagai hadiah dan penghargaan atas jasa yang dicurahkan Seniman Agung itu.

“Ini adalah tanda penghargaan saya kepada P Ramlee. Saya mahu bayar balik apa yang disumbangkan oleh beliau kepada industri kreatif tanah air.

“Seperti kita tahu, hak royalti lagu Allahyarham P Ramlee akan berakhir, tahun depan apabila sudah 50 tahun selepas seseorang pengkarya meninggal dunia.

“Rezeki royalti lagu Aduh Malaysia sebanyak 100 peratus untuk mereka (waris P Ramlee), insya-Allah ada rezeki lain untuk saya,” katanya yang gembira apabila lagu Aduh Malaysia tular sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Akta Hak Cipta 1987 hanya memberi tempoh perlindungan selama 50 tahun kepada sesebuah karya selepas kematian penciptanya. Tiada lagi imbuhan royalti kepada waris selepas kontrak royalti tamat.

Karya P Ramlee akan menjadi ‘public domain’ atau harta awam, tahun depan. Ini bermaksud sesiapa sahaja bebas menggunakan karya seni tanpa izin. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini