comscore
Tumpuan :
Nasional

Sebahagian peruntukan tambahan pasca banjir untuk pasang jambatan bailey

FOTO: NSTP

Oleh Shaharil Kadir

BAGAN DATUK: Kabinet memutuskan sebahagian daripada RM150 juta peruntukan tambahan pasca banjir kepada Johor yang diumumkan semalam dapat digunakan bagi pembelian jambatan bailey untuk dipasang di beberapa laluan yang masih terputus hubungan di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemasangan kemudahan itu akan memudahkan kerja pembaikan serta naik taraf jalan yang rosak akibat banjir.

“Setakat ini, di kawasan parlimen Sekijang, Ahli Parlimennya, telah memberitahu saya keperluan jambatan bailey dan jawatankuasa peringkat daerah sedang mengkoordinasi jalan yang terputus.

“Jambatan bailey dapat dipasang sebelum pembaikan, naik taraf jalan dilakukan sepenuhnya di kawasan-kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Bagan Datuk di sini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi usaha pemulihan meliputi program dan projek pasca banjir khususnya di Johor.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata gelombang keenam menyaksikan fenomena banjir termenung di lima daerah di Johor.

“Pemasangan pam penyedut air untuk disedut dan disalurkan ke laut sedang dijalankan, terdapat penambahan pam-pam berkuasa tinggi untuk kawasan rendah untuk mengepam keluar air banjir ke saliran lebih besar,” jelasnya.

Katanya lagi, situasi itu menyebabkan masih terdapat 15 sekolah di Johor yang masih terjejas akibat banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang melakukan koordinasi usaha pasca banjir dengan Kementerian Pendidikan supaya kerja pembersihan dapat dijalankan sebaik banjir surut sepenuhnya bagi melancarkan sesi persekolahan pelajar.

Loading...
Terkini