comscore
Tumpuan :
Nasional

Sebuah rumah kedai, 10 motosikal musnah dalam kebakaran

Foto ihsan Bomba

ALOR SETAR: Sebuah rumah kedai dan 10 motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Tengah, Jalan Tualang, Langgar, di sini hari ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.29 pagi membabitkan sebuah rumah kedai kelas A di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Pokok Sena yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Shahrin Musa dan BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Setibanya di lokasi didapati api sedang marak sehingga menyebabkan kemusnahan 90 peratus premis kedai terbabit manakala 10 buah motosikal di dalamnya turut musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika operasi tersebut, seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) cedera di jari kelingking tangan kiri.

Muhammad Riyard Harris Ramlan, 20-an dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bakar berkata, anggota PBB terbabit mengalami cedera di jari kelingking tangan kiri ketika cuba membuka pintu kedai berkenaan untuk memadam kebakaran.

“Kerja-kerja overhaul sedang dilakukan di lokasi kejadian setakat ini dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

“Bagaimanapun punca dan kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini  setiap masa.

Loading...
Terkini