
GEORGETOWN: Pemilik bengkel motosikal di Jalan Datuk Keramat di sini, kerugian hampir RM300,000 selepas dua unit premis yang diusahakannya itu musnah dalam kebakaran.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan lapan unit premis dua tingkat terdiri daripada empat bengkel motosikal, tiga rumah tidak berpenghuni dan satu kedai makan, musnah dalam kebakaran.
Artikel berkaitan: Lapan deretan kedai musnah dalam kebakaran
Pemilik bengkel, Ernie Yeoh Ean Keat, 31, berkata ketika kejadian, dia sedang membaiki motosikal milik pelanggan yang dihantar di kedai itu.

Katanya, dia menyedari premisnya disambar api apabila terdengar suara jeritan yang meminta orang ramai menyelamatkan diri.
“Saya keluar dari kedai dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk dokumen penting.
“Namun yang penting semua pemilik kedai dan pelanggan yang berada di dalam premis selamat serta tidak membabitkan nyawa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM300,000 membabitkan kemusnahan kira-kira 12 motosikal pelanggan dan alat ganti.
Dalam kejadian itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.04 malam.

Katanya, seramai 61 pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi sejurus menerima panggilan.
Katanya, sebaik tiba didapati api sedang marak membakar lapan unit premis berkenaan dan dapat dikawal pada jam 10.40 malam.
“Bomba juga berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan kedai di bahagian belakang premis berkenaan.
“Kita menghadapi beberapa kesukaran antaranya ialah kesesakan lalu lintas bagi ke tempat kejadian.
“Premis yang terbabit juga terletak berhampiran jalan besar, jadi kita terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah bagi keselamatan dan memudahkan operasi pemadaman,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba juga perlu berhati-hati semasa operasi pemadaman berikutan terdapat punca elektrik yang masih mengalirkan arus.
Di lokasi berkenaan, trafik agak sesak di Lorong Kulit, Jalan Terengganu, Jalan Perak dan Jalan Datuk Keramat berikutan penutupan laluan dan dilencongkan.