comscore
Tumpuan :
Nasional

Sedia korban ‘Scoot’ bulan depan

PEKAN: Seorang penternak reda apabila lembu ‘sado’ bernama ‘Scoot’ yang menjadi haiwan kesayangannya digunakan untuk ibadat korban sempena Aidiladha, bulan depan.

Aiman Aizuddin berkata haiwan bernilai RM25,000 itu ialah lembu baka Limousine yang sudah empat tahun dibesarkannya.

Pemuda berusia 19 tahun ini, mengusahakan projek ternakan lembu sado dan baka Kedah-Kelantan di Kampung Permatang Pauh, di sini.

Aiman Aizuddin berkata, demi tuntutan agama dia rela haiwan kesayanganya itu digunakan untuk menunaikan ibadat korban yang kali pertama menggunakan lembu sado, sebelum ini hanya membabitkan lembu baka Kedah-Kelantan sahaja.

“InsyaAllah ibadat korban kali ini menjadi sejarah apabila menggunakan lembu sado kesayangan saya membabitkan tujuh bahagian. Ayah dan mak termasuk saya serta empat adik beradik lain.

“Pengorbanan saya ini bagi memenuhi tuntutan agama, saya yakin dengan janji Yang Maha Esa yang menyediakan pahala yang besar dengan balasan diterima di akhirat,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, kos makanan untuk ‘Scoot’ antara RM50 hingga RM80 sehari membabitkan pallet dan rumput termasuk pallet soya.

Lembu berkenaan ditempatkan dalam kandang khas bagi mengelak ia mencederakan lembu lain.

Aiman Aizuddin yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma Agroindustri Ternakan Ruminan di Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Maran berkata, minat pada haiwan selain suka melihat lembu membesar depan mata faktor utama dia terbabit dengan projek ternakan lembu sado termasuk baka Kedah-Kelantan sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya lagi, ‘Scoot’ dilahirkan dalam kandang miliknya hasil permanian beradas, haiwan berkenaan membesar di bawah pengawasan dia dan beberapa pembantu.

Penternak ini juga sudah mempunyai lebih 25 ekor lembu sado baka Limousine, Charolais, Belgian Blue dan Brahman.

Sebelum ini dia menjual anak lembu sado berumur tujuh hingga 10 bulan dengan harga antara RM5,000 hingga RM8,000.

“Sebelum ini saya menyembelih 10 lembu sado pelbagai saiz bagi menyambut Aidilfitri, keuntungan menjual daging segar lebih lumayan berbanding menjual lembu hidup.

“Kali ini saya telah menjual lebih 40 ekor lembu baka Kedah-Kelantan untuk ibadah korban,” katanya yang sebelum ini pernah membeli lembu sado betina dengan harga RM30,000 seekor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini