KUALA LUMPUR: Seekor lagi kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada bahagian badan di Universiti Malaya (UM), di sini.
Perkongsian mengenai penemuan kucing berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna akaun Instagram (IG) yang mahu keadilan untuk haiwan berkenaan yang dinamakan sebagai ‘Lily’ dan dua lagi kucing yang ditemui dalam keadaan sama sebelum ini.
Di IG storynya, wanita itu mendakwa Lily adalah kucing kelima yang didakwa dibunuh di universiti terbabit dan turut mempersoalkan bagaimana kejadian itu berlaku selama berbulan-bulan tanpa tindakan diambil.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbaru itu.
Bagaimanapun katanya, semakan dengan pihak Keselamatan UM mengesahkan pentadbiran universiti itu ada menerima maklumat berkaitan kes itu dan siasatan dalaman sudah dijalankan.
“Berdasarkan makluman pihak keselamatan UM, laporan awal daripada Jabatan Veterinar menyatakan kesan yang ada pada kucing berkenaan adalah disebabkan oleh gigitan bintang liar,” katanya di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan rasa tidak puas hati netizen berhubung kejadian didakwa pembunuhan dua kucing yang dikaitkan dengan perbuatan dera.
Kejadian berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini, dan perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
KMUM FPE dilaporkan berkata, pihaknya amat terkejut serta sedih dengan kes penderaan kucing yang berlaku pada 12 Disember dan 16 Disember lalu.
Bagaimanapun polis mengesahkan kematian mengerikan dua kucing yang putus kesemua kaki dan terbelah perut di fakulti berkenaan adalah akibat serangan anjing liar.
Ku Mashariman dilaporkan berkata, Balai Polis Pantai menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua kucing itu dan siasatan sudah dijalankan dan mendapati kematian kucing itu adalah disebabkan oleh serangan anjing-anjing liar di kawasan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.