Tumpuan :
Nasional

Segamat banjir lagi, penduduk mula runsing

Beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Segamat turun padang melakukan pemantauan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, hari ini. – FOTO: NSTP

SEGAMAT: 11 penduduk membabitkan empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, di sini berikutan banjir mula melanda daerah ini, awal petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Masni Wakiman berkata PPS berkenaan dibuka mulai jam 2 petang apabila air melimpah ke kawasan penduduk.

“PPS itu dibuka berikutan kawasan Kampung Seberang Batu Badak terjejas banjir. Setakat ini ada 11 mangsa iaitu enam lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki di tempatkan di situ.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa, susulan air Sungai Muar melimpah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah menasihatkan penduduk di kawasan yang dinaiki air akur apabila diminta berpindah ke PPS bagi mengelakkan mereka terkandas.

Katanya, penduduk yang enggan keluar atas alasan mahu menjaga rumah hanya akan menyulitkan situasi yang sedia kelam-kabut apabila banjir dan bekalan elektrik terputus.

“Pelbagai ajensi akan membuat hebahan meminta penduduk terbabit pindah. Kalau boleh tinggalkan rumah kerana kita dimaklumkan hujan lebat berterusan beberapa hari dan air dijangka naik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini