Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan disegerakan berhubung kes berkaitan Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB).
Ia ekoran isu-isu berkenaan eksploitasi kanak-kanak dan penyelewengan agama yang disifatkan sangat serius dan boleh menjejaskan akidah ummah.
“Biar polis buat siasatan dan tindakan ikut undang-undang dan pihak majlis agama terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada kekuatan penyiasatan serta pendidikan untuk beri nasihat. Jadi jangan lengahkan kalau benar.
“Soal akidah umat ini penting. Perkara besar soal penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan agama, penderaan kanak-kanak..itu semua soal serius bagi umat.
“Ramai yang tanya mengapa berlaku kelewatan dan kelengahan dalam tindakan, saya telah bawa badan-badan ini untuk tindakan segera, siasatan dan laporan,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al Imam Kampung Desa Putra, Sungai Merab, hari ini.
Hampir 1,000 jemaah termasuk Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir menunaikan solat diimamkan Bilal Kamaruddin.
Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama penduduk setempat di Jalan Bukit Dugang.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 20 premis rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 11 September lalu dan seramai 392 kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pecahan mangsa terdiri daripada 57 kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah, 198 mangsa (5 hingga 12 tahun), 115 mangsa (13 hingga 17 tahun) dan 14 orang lagi berusia 18 tahun ke atas.
Beliau turut mengesahkan hasil saringan kesihatan ke atas 172 pelajar yang terkait dengan isu eksploitasi kanak-kanak mendapati kesemua mereka mengalami kecederaan mental dan fizikal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.