comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekolah di Pulau Pinang jalani PdPR ekoran gangguan bekalan air

Foto hiasan

GEORGE TOWN: Semua sekolah di Pulau Pinang dibenarkan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keputusan itu dibuat berikutan gangguan bekalan air berjadual yang dialami negeri itu selama empat hari, bermula 10 Januari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan memaklumkan pihaknya sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Lima dan penuntut Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di sekolah memandangkan mereka perlu menghadapi peperiksaan.

“Surat makluman berhubung hebahan kebenaran pembelajaran menerusi PdPR ini akan diedarkan kepada pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata pihaknya sudah melakukan persediaan dalam menghadapi gangguan bekalan air berjadual itu, termasuk mendapatkan bantuan bekalan air dari beberapa negeri.

“Kita telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan secara prinsip, SPAN bersetuju untuk membantu kita mendapatkan bekalan air dari negeri lain. Namun bilangan lori tangki terbabit belum dimuktamadkan.

“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan lokasi untuk menempatkan tangki air dan fokus kita ialah di kawasan kritikal seperti Balik Pulau, Sungai Ara yang terletak di Daerah Barat Daya, selain kawasan Seberang Perai Selatan.

“Tangki berkapasiti 25,000 liter akan ditempatkan secara statik manakala tangki kecil akan digerakkan ke lokasi berlainan mengikut keperluan sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Zairil menambah, proses menyalurkan semula bekalan kepada pengguna akan dilakukan sejurus kerja penggantian dua injap berdiameter 1,200 milimeter (mm) membabitkan saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selesai.

“Pada hari pertama, sejurus kerja pembaikan siap, pemulihan air akan bermula dan air akan bergerak sehala. Jadi, mana-mana kawasan yang dekat dengan LRA akan dapat air terlebih dahulu, misalnya kawasan seperti Seberang Perai Utara, diikuti Seberang Perai Tengah,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.

Loading...
Terkini