Tumpuan :
Nasional

Sekolah jangan sembunyi kes buli – Fadhlina

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pimpinan tertinggi pentadbiran di sekolah agar tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan buli yang berlaku di kalangan murid atau pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya ada menerima laporan sekolah yang menyembunyikan kes buli.

Susulan itu, beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan tertinggi pentadbir sekolah yang bertindak melakukan perkara terbabit.

“Kita ada terima laporan (berkenaan pimpinan tertinggi menyembunyikan kes buli di sekolah) dan kita tidak melihat ia sebagai satu perkara yang perlu disembunyikan.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada pimpinan pentadbir sekolah yang bertindak menyembunyikan kes ini kerana kita tidak mahu pihak sekolah tidak mematuhi garis panduan kita.

“Garis panduan ini telah pun kita tegaskan berulang kali dan mereka mesti mengikut semua proses itu supaya keadilan dan siasatan dapat dilaksanakan dengan telus.

Maknanya, dari segi kepercayaan anak-anak (murid dan pelajar) kepada kita bahawa sekolah adalah tempat selamat,” katanya.

“Itu yang penting supaya mereka dapat pergi sekolah dengan selamat dan urusan psikososial, kesihatan mental mereka dapat kita tangani dengan segera khususnya apabila mereka terlibat dengan kejadian buli ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk Likas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata KPM juga sebelum ini telah menyebarkan garis panduan berkaitan perkara terbabit di semua peringkat.

“Garis panduan ini kita telah tegaskan berulang kali. Sebab itu saya tidak mahu mana-mana sekolah baik pengetua, guru besar atau guru membuat pendekatan menyorokkan kes-kes ini.

“Saya yakin bahawa bila kita ambil pendekatan menyelesaikan kes ini mengikut garis panduan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, kita akan dapat tangani kes ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini