comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sekolah tawar 10,000 pakaian percuma untuk orang ramai

Orang ramai hadir memilih lebih 10,000 pakaian disediakan percuma di bawah Program Kuru-Kuru sempena Aidilfitri di SK Bandar Putra, Segamat hari ini. Foto: NSTP

SEGAMAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra dan SK Segamat Baru di sini berjaya mengumpul lebih 10,000 pakaian untuk dipilih orang ramai bagi menyambut Aidilfitri.

Ia dilakukan dengan kerjasama  Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan diletakkan di bawah Program Kuru Kuru Kongsi Rezeki – Infaq Aidilfitri.

Pakaian yang disediakan membabitkan semua peringkat umur dan turut meliputi pelbagai barangan lain seperti kasut, samping dan beg.

Menurut guru penyelaras, Azian Abd. Hamid program yang bermula hari ini terbuka kepada warga SK Bandar Putra sejak Jumaat, hari Sabtu kepada warga SK Segamat Baru dan hari ini Ahad terbuka kepada orang ramai sekitar Segamat.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengambil pelbagai pakaian Aidilfitri secara percuma hasil sumbangan guru-guru, ibu bapa murid dan juga hasil sumbangan orang ramai.”

Menurut Azian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil barang yang diperlukan untuk keperluan keluarga masing-masing sahaja.

Tambahnya, semua pakaian itu adalah sumbangan daripada orang ramai dan perlu diserahkan kembali kepada orang ramai sesuai dengan maksud kuru kuru dalam program itu yang bermakna ‘pusingan’ dalam bahasa Jepun.

Jelas Azian, tujuan Program Kuru Kuru ini juga adalah berkongsi rezeki kepada yang memerlukan, membantu warga sekolah dan orang ramai membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Menurut wakil SWCorp, Penolong Penguasa Muhd Mufarizam Yahir@Yahya, program ini adalah julung kali dianjurkan oleh pihak sekolah sambil berkolabrasi bersama SWCorp Segamat.

Beliau berharap program ini menjadi contoh kepada sekolah dan institusi pendidikan lain ke arah meringankan beban orang ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini