comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekolah tiada air, daif di Kelantan jadi tumpuan KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan terhadap sekolah daif dan berdepan masalah air di Kelantan serta sekolah Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, sebahagian besarnya diberi kepada sekolah yang berdepan masalah air.

“Alhamdulillah kalau pengumuman (RM1 bilion) itu dibuat ia akan diselaraskan dan saya ingat Kelantan tidak terpinggir daripada mendapat manfaat. Pastinya sekolah ini (mempunyai masalah air) kita akan memberi tumpuan daripada peruntukan itu.

“Mengenai sekolah daif pula, kita ada 17 dan sembilan daripadanya sudah diluluskan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk penambahbaikan dan lima sedang dalam proses permohonan serta tiga di peringkat dokumen. Sekolah ini dikenal pasti berada dalam skala enam dan tujuh, jadi ia sudah dalam tindakan KPM dan JPN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan bermula tahun ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Mengulas mengenai laporan seorang ibu berusia 31 tahun yang mendakwa anaknya berusia 11 tahun yang juga murid perempuan Tahun Lima trauma untuk ke sekolah selepas ditampar guru besar di hadapan murid lain dalam dewan sebuah sekolah di daerah ini Mac lalu, Fadhlina berkata pihaknya sedang menunggu siasatan berhubung kes itu.

“KPM juga bekerjasama erat dengan JPN dan pihak berkuasa untuk siasatan kes terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini