comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekretariat selaras pertindihan kursus TVET, kerjasama syarikat swasta

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyaurat Jawatankuasa Majlis TVET Negara di Putrajaya. Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar. – FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu sekretariat tetap akan diwujudkan bagi menyelaras pertindihan kursus yang ditawarkan di 1,295 institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di 12 kementerian serta satu jabatan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat yang akan dipengerusikan seorang pegawai sedia ada itu juga akan menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat swasta atau pemain industri dengan pusat TVET di seluruh negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan TVET turut meminta pemain industri untuk memberikan latihan kepada pensyarah dan tenaga kerja, selain menyediakan peralatan serta perkakasan untuk pengajaran di pusat berkenaan supaya bersesuaian dengan kemahiran diperlukan industri.

“Dengan cara itu, Memorandum Persetujuan (MoA) akan diadakan. Dalam tempoh tiga bulan ini, sebanyak 10 pemain industri yang telah dikenal pasti akan menandatangani perjanjian secara terus dengan pusat TVET yang saya akan pantau sendiri pelaksanaannya bagi quick wins (langkah pantas) di peringkat awal.

“Tiba masanya saya akan umumkan senarai 10 syarikat itu tapi ada antaranya termasuklah PETRONAS, DRB-Hicom, syarikat hospitaliti dan syarikat berkaitan sektor pelancongan serta pelbagai industri bersesuaian,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis TVET (MTVET) kali pertama tahun ini di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mencadangkan penglibatan dan kerjasama pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memperkasakan TVET.

Anwar berkata, ia adalah penting untuk memenuhi keperluan industri dan menyelesaikan sebahagian masalah seperti salah padan atau latihan yang tidak diperlukan industri serta kemudahan yang tidak memuaskan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ada pusat TVET di beberapa kementerian menawarkan pertindihan kursus mengakibatkan kebolehpasaran pelatih di bawah 50 peratus.

“Kita tidak akan tutup pusat TVET yang bertindih kursus tapi akan alihkan kursus kepada pengambilan mengikut kebolehpasaran tinggi. Di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terdapat 280 institut yang mengendali TVET. Namun kursus ditawar berada di tahap 97 peratus kebolehpasaran.

“Saya telah memantau sendiri kursus itu supaya tidak bertindih antara satu sama lain. Itu sebab permintaan keluaran institut TVET di bawah KKDW tinggi, maka pengalaman ini boleh jadikan panduan supaya kursus ditawarkan mempunyai nilai kebolehpasaran tinggi,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat lebih sejam itu turut mengenal pasti beberapa bidang yang bersesuaian dengan industri masa depan supaya kebolehpasaran pelatih dapat memenuhi permintaan guna tenaga di negara ini.

Antaranya, kecerdasan buatan (AI), Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), kenderaan elektrik (EV) dan sistem 6G dalam komunikasi.

Pada masa sama, katanya, akta baharu atau pindaan akta sedia ada perlu dibentangkan segera di Parlimen bagi melibatkan syarikat swasta dan pemain industri untuk mengendalikan pusat TVET sebagaimana dilaksanakan di beberapa negara maju.

“Tentunya kita mahu elak pertindihan kursus, kurangkan kos dan pada waktu sama kita mesti kurangkan pengambilan pekerja asing daripada luar negara.

“Saya akan membentangkan dapatan daripada mesyuarat kepada Kabinet dalam waktu terdekat supaya Kabinet boleh terima saranan untuk pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak akan membuka institut TVET baharu, namun mengoptimumkan pusat sedia ada dengan beberapa institut TVET tertentu akan dijadikan pusat latihan keusahawanan.

“Pusat itu bukan hanya memberikan tawaran dalam bidang pekerjaan tetapi mereka (pelatih) turut dilatih untuk menjadi usahawan dengan pembiayaan (perniagaan mereka nanti) akan dilakukan oleh beberapa institusi kewangan kerajaan atau swasta setelah mereka tamat latihan supaya pemantauan dan penyeliaan dapat dilakukan,” katanya.

Loading...
Terkini