
PETALING JAYA: Seorang lelaki warganegara Malaysia dipenjara 16 bulan di Singapura selepas mengaku salah atas dua tuduhan melakukan seks dengan seorang gadis bawah umur.
Pengurus restoran, Raja Zulfadhli Noor Raja M, 35, melakukan perbuatan itu dua kali termasuk kali pertama di restoran tempat mereka sama-sama bekerja.
Menurut laporan portal berita Singapura TODAY, Raja Zulfadhli Noor pertama kali berkenalan dengan mangsa pada April 2018 ketika remaja terbabit berusia 14 tahun dan menjadi pekerja separuh masa di restoran diuruskan tertuduh.
Mereka mula menjalin hubungan tahun itu sebelum mengadakan seks di restoran berkenaan pada Jun 2018.
Timbalan Pendakwa Raya June Ngian berkata, Raja Zulfadhli Noor sedar mangsa bawah umur namun tetap mengadakan seks sekali lagi dengan mangsa di bilik tidur remaja itu beberapa bulan kemudian.
Mereka menamatkan hubungan pada Jun 2020, dan mangsa mendapat rawatan psikiatrik sebulan kemudian disebabkan gangguan emosi dialami.
Pada 25 Februari 2022, remaja itu memutuskan membuat laporan polis.
Pendakwaan memohon Raja dipenjara 17 bulan.
Ngian berkata, Raja tidak menggunakan alat pencegahan kehamilan selain menyalahgunakan kepercayaan diletakkan terhadapnya sebagai pengurus restoran berkenaan.
Peguam bela Cheryl Sim bagaimanapun meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara 15 bulan kerana anak guamnya mengaku salah dan insaf atas perbuatannya.
Hakim Prem Raj memerintahkan Raja dipenjara 16 bulan selepas mengambil kira dia mendedahkan mangsa terhadap risiko penyakit kelamin dan hamil.
Menurut undang-undang Singapura, hukuman maksimum kerana seks dengan remaja bawah umur adalah penjara 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya.