KUALA BERANG: Sekumpulan pelancong terkejut apabila menjumpai bangkai seekor gajah terendam di kawasan Sungai Mandak, Tasik Kenyir dekat sini.
Salah seorang pengunjung, Abdullah Salam, 50, berkata, ada bau busuk sebaik berada berhampiran sungai terbabit.
“Rupanya bangkai gajah yang mati di kawasan ini dan ia merupakan pengalaman pertama saya melihat bangkai gajah mereput.
“Tidak dinafikan, kawasan tasik ini adalah salah satu habitat pelbagai haiwan termasuk gajah namun kematian mamalia itu sama ada angkara manusia atau tidak ianya hanya boleh disahkan pihak berkuasa.
“Kalau dilihat bangkai gajah berkenaan sudah mula reput dan berbau busuk manakala kulit mamalia terbabit seperti dimakan haiwan.
“Terdapat beberapa ekor gajah liar berada di kawasan tebing dan dipercayai bangkai gajah ditemui itu mungkin adalah dari kumpulan yang sama,” katanya.
Sekumpulan pelancong terkejut apabila menjumpai bangkai seekor gajah terendam di kawasan Sungai Mandak, Tasik Kenyir. pic.twitter.com/4UuY79qx3g
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 1, 2023
Menurutnya, pengunjung yang ke kawasan Sungai Mandak, boleh melihat bangkai haiwan berkenaan dan ianya satu pengalaman baru buatnya ketika berkunjung ke Tasik Kenyir.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada unsur khianat kepada mamalia berkenaan.
“Tiada kesan tembakan atau jerat dan gajah itu dipercayai mati secara semula jadi di kawasan tasik berkenaan,” katanya.