GEORGE TOWN: Bedah siasat yang dijalankan terhadap dua beranak yang maut akibat ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, Khamis lalu menemui beberapa kesan tikaman pada bahagian dada dan perut.
Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya enam kesan tikaman pada mayat Siti Zulaila Zulkifli, 30 dan bapanya Zulkifli Ibrahim, 62.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, melalui laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam terhadap bahagian dada dan perut dua beranak terbabit.
“Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 6 petang semalam dan jenazah kedua-dua beranak itu telah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan malam tadi.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa wanita adalah disebabkan luka tikaman pada dada dan perut, manakala bapanya mengalami luka akibat ditikam pada dada,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, polis memberi jaminan siasatan berhubung kes terbabit akan dijalankan secara telus dan adil.
“Pada ketika ini keadaan suspek (yang dirawat di HPP) stabil dan kita percaya siasatan kes ini tidak akan mengambil masa yang lama,” katanya.
Terdahulu, jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong, di sini, selepas solat Isyak, malam tadi.
Usai pengebumian, Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an iaitu suami kepada Allahyarham Siti Zulaila menuntut tindakan tegas diambil terhadap pelaku yang menyebabkan kematian isteri dan bapa mentuanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.54 tengah hari Khamis lalu, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli maut di tempat kejadian selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.