comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Selangor catat lebih 31,000 kes denggi sejak Januari, meningkat 131.5 peratus banding 2021

SHAH ALAM: Sebanyak 31,822 kes demam denggi dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga 19 November lalu, meningkat 131.5 peratus berbanding 13,745 kes sepanjang tempoh minggu epidemiologi (ME) sama pada 2021.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata ia termasuk 744 kes denggi dilaporkan pada ME46 dari 13 hingga 19 November lalu, menurun 8.4 peratus berbanding 812 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, empat daerah yang mencatat kes denggi tertinggi ialah Petaling (10,927), Hulu Langat (7,444), Klang (5,405) dan Gombak (4,308).

“Lapan kematian akibat demam denggi didaftarkan di Selangor, tahun ini, iaitu empat di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, PKD Petaling (dua), dan masing-masing satu kes di PKD Hulu Selangor serta PKD Kuala Langat,” katanya ketika dihubungi Bernama

Justeru, Dr Sha’ari menyarankan setiap komuniti di kawasan kediaman supaya melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara berkala, memandangkan cuaca hujan yang lebih kerap akan memperluas lokasi boleh bertakung air.

Tambahan pula, beliau berkata, keadaan yang lembap juga meningkatkan kemandirian hidup nyamuk Aedes.

“Jabatan Kesihatan Selangor menyarankan agar komuniti di kawasan kediaman meluangkan masa 10 minit seminggu bagi memastikan semua takungan air yang tidak diguna dimusnahkan.

“Masyarakat juga perlu memastikan kawasan di dalam rumah dan persekitaran sentiasa bersih, tiada tempat takungan air, meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di tempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan, dan menutup rapat bekas takungan air kekal,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini